Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

ALOR SETAR – Bekas pemimpin Pas yang keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) didakwa
mahu mengurangkan peranan ulama dalam parti itu tetapi langkah itu berjaya dihalang.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, kumpulan tersebut  mahu meminda Perlembagaan Pas, bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti kepada badan penasihat.

“Sebab itu kita tolak kerjasama dengan PAN. Ini pertama kali saya dedahkan, dia nak ubah perlembagaan parti, sedangkan Majlis Syura Ulamak adalah badan teratas untuk buat keputusan muktamad.

“Ini menyebabkan ahli Pas menolak, dan selepas ditolak, dia tubuh parti baharu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas kawasan Pokok Sena ke 41, di Kompleks Pas Pokok Sena.

Menurutnya, cadangan itu cuba dijadikan usul dalam Muktamar 2015 dan mendapat bantahan akar umbi termasuk ditolak dalam mesyuarat Pusat kerana ia bercanggah dengan perlembagaan Pas.

Jelasnya lagi, cubaan meminda perlembagaan parti itu adalah bagi memudahkan kerjasama dengan parti lain khususnya DAP.

“Mana boleh kurangkan kuasa yang diberikan kepada Majlis Syura, ia adalah hukum tertinggi dalam Perlembagaan Pas, yang kita rujuk kepada al-Quran, hadis termasuk golongan ulama. Asas perlembagaan itu jelas bercanggah,” katanya lagi.

Menurut Hadi, usaha tersebut menyebabkan kumpulan itu yang kini berada dalam PAN ditolak dalam pemilihan parti dan mereka akhirnya menubuhkan parti baharu selepas itu.

“Tak perlu dedah nama, mereka yang bawa cadangan itu tiada dalam Pas lagi. Mereka adalah pemimpin PAN yang keluar Pas,” katanya. – MalaysiaGazette