Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna bagi bulan Mac 2018 meningkat 1.3 peratus kepada 120.9 berbanding 119.4 pada bulan yang sama tahun lepas.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+2.8 peratus), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (+2.1 peratus), Kesihatan (+2.0 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.0 peratus), Restoran & Hotel (+2.0 peratus) dan Pendidikan (+1.1 peratus).

Perbandingan bulan ke bulan, IHP turun 0.3 peratus berbanding bulan Februari 2018. IHP bagi tempoh Januari-Mac 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 2.8 peratus pada Mac 2018.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan Ikan & Makanan Laut (+4.6 peratus), Buah-buahan (+2.0 peratus), Susu & Telur (+1.6 peratus), Gula, Jem, Madu, Coklat & Manisan (+1.1 peratus) dan Sayur-sayuran (+0.9 peratus).

Peningkatan dengan kadar yang perlahan 0.9 peratus bagi indeks subkumpulan Sayur-sayuran pada Mac 2018 (Februari 2018:1.7 peratus) adalah disebabkan oleh indeks barangan yang menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri seperti Kacang panjang (-8.3 peratus), Kobis Bulat (-7.5 peratus) dan Kacang Buncis (-7.5 peratus).

Sementara itu, indeks Makanan di Luar Rumah meningkat pada Mac 2018 dengan kenaikan 3.9 peratus.

Secara keseluruhan, tiga negeri melepasi paras IHP nasional 1.3 peratus yang dicatatkan pada Mac 2018 berbanding Mac 2017 iaitu Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.6 peratus), Melaka (+1.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+1.4 peratus).

Sementara itu, kenaikan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

Empat negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol melebihi paras indeks nasional (+2.8 peratus) bagi Mac 2018 berbanding bulan yang sama tahun 2017.

Indeks bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol naik 4.1 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 3.4 peratus di Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan, 3.4 peratus di Johor dan 3.1 peratus di Pulau Pinang.

Inflasi teras naik 1.7 peratus pada Mac 2018 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dipacu oleh kenaikan harga bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+3.0 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.4 peratus), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (+2.1 peratus), Kesihatan (+2.0 peratus) dan Restoran & Hotel (+2.0 peratus).

Inflasi teras berbeza daripada IHP keseluruhan kerana pengukuran inflasi teras tidak meliputi harga barangan dan perkhidmatan yang dipengaruhi turun naik harga yang bersifat sementara dan tidak mempunyai impak yang kekal kepada tren asas inflasi.

Ini termasuk sembilan item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal. – MalaysiaGazette