Noor Hisham Abdullah, KP Kesihatan, Thanabalan mati di lokap
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Lelaki yang mati dalam tahanan polis di Lokap Berpusat di Ibu Pejabat Polis Shah Alam mengalami beberapa gejala penyakit.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Thanabalan Subramaniam, 38 mengalami demam, sakit perut, cirit-birit dan kurang selera sejak empat hari lalu.

“Pada 17 April 2018 sebelah malam, beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri dan segera dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam (HSAS).

“Semasa pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan HSAS, beliau didapati telah meninggal dunia. Sebab kematian belum diketahui, sedang menunggu hasil laporan bedah siasat yang dilakukan di HSAS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr. Noor Hisham membuat kenyataan itu susulan kes kematian Thanabalan, 28, yang ditahan di lokap tersebut sejak 29 Mac lalu.

Beliau memberitahu, pada masa yang sama, terdapat juga 10 kes yang turut mengadu tidak sihat dengan pelbagai gejala di lokap berkenaan.

Katanya, sembilan kes mempunyai gejala ringan seperti batuk dan selsema manakala satu kes mempunyai gejala sakit perut dan cirit-birit.

Sebanyak tujuh kes telah diberikan rawatan semasa di Lokap berpusat IPD Shah Alam oleh pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), manakala tiga kes pula telah dirujuk ke Jabatan Kecemasan HSAS untuk rawatan dan seterusnya dibenarkan pulang.

Pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang giat mejalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di Lokap Berpusat IPD Shah Alam.

Dr. Noor Hisham berkata, pemeriksaan yang dijalankan di dalam lokap mendapati ia bersih dan terkawal. – MalaysiaGazette