Calon Bebas dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yangan bertanding di Parlimen Ampang, Sulaiman Kamarul Rafar Ismail (tengah) bersama calon Parlimen Pandan, Ahmad Syahman Nordin (kiri) serta calon kawasan Parlimen Segambut, Anas Saiful Azhar bergambar selepas mengadakan sidang media di Restoran Marakesh, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2018.
Calon Bebas dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Parlimen Ampang, Sulaiman Kamarul Rafar Ismail (tengah) bersama calon Parlimen Pandan, Ahmad Syahman Nordin (kiri) serta calon kawasan Parlimen Segambut, Anas Saiful Azhar bergambar selepas mengadakan sidang media di Restoran Marakesh, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menggunakan logo berlambangkan payung yang diluluskan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), calon-calon tersebut akan bertanding atas tiket bebas.

Antara calon-calon tersebut ialah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Malaysia, Sulaiman Kamarul Rafar Ismail; Pengerusi Pertubuhan Pencinta Air Terjun Selangor, Anas Saiful Azhar dan Setiausaha Pertubuhan Pencinta Air Terjun Selangor, Ahmad Syahman Nordin.

Pada sidang media hari ini, Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Malaysia, Mohd. Ridzuan Abdullah yang juga penyelaras calon-calon yang akan bertanding itu berkata, penyertaan mereka pada PRU-14 adalah mahu memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat.

Tanpa menampilkan sebarang manifesto, Mohd. Ridzuan berkata, calon-calon yang dinamakan membawa satu pelan tindakan yang lebih baik kepada pengundi-pengundi di kawasan masing-masing.

“Kami tidak ada manifesto tetapi kami ada pelan tindakan. Ini disebabkan kami bukanlah parti politik. Ingin kami tegaskan bahawa kita ini parti bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.

“Kami tidak mahu bermain politik dengan rakyat, sebaliknya kami mahu berkhidmat untuk mereka. Kami juga tidak mahu mengambil tugas kerajaan tetapi kami mahu menjadi pihak yang benar membawa suara rakyat,” katanya.

Mohd. Ridzuan berkata, sebelum ini pihaknya menghadapi masalah apabila tujuh logo yang digunakan di dalam NGO yang disenaraikan di dalam permohonan terpaksa dikeluarkan kerana melibatkan nama pasukan beruniform iaitu pengakap.

Bagaimanapun setelah logo pasukan beruniform itu dikeluarkan daripada permohonan, isu tersebut tidak lagi timbul dan mereka layak untuk bertanding pada PRU kali ini.

Sulaiman yang merupakan anak jati di Kuala Lumpur memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Ampang yang sekarang ini disandang oleh calon PKR, Zuraida Kamaruddin.

Anas Saiful Azhar pula diletakkan sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Segambut yang kini disandang oleh Lim Lip Eng dari parti DAP.

Manakala, Ahmad Syahman Nordin yang merupakan anak jati dari negeri Cik Siti Wan Kembang ditempatkan di kerusi Parlimen Pandan yang pernah disandang oleh Rafizi Ramli daripada PKR. – MalaysiaGazette