Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 16 bekas anggota UMNO untuk mencabar kesahihan parti itu kerana tidak mengadakan pemilihan parti dalam tempoh ditetapkan yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan UMNO, dan menegaskan keputusan sesebuah parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan 16 individu berkenaan selaku pemohon.

Shamsul mewakili Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selaku responden pertama manakala Datuk Ab Rauf Yusoh dinamakan responden kedua, dalam kapasitinya sebagai penjawat awam UMNO.

Kamaludin dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 terpakai dan ia mengecualikan bidang kuasa mahkamah dalam perkara membabitkan pertikaian antara anggota sesebuah parti politik.

Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu oleh kerana Seksyen 18C mengetepikan bidang kuasa mahkamah.

Berdasarkan Seksyen 18C akta ini, keputusan sesebuah parti politik atau mana-mana individu yang diberi kuasa oleh perlembagaan atau undang-undang atau peraturan yang dibuat berdasarkan interpretasi perlembagaan, maka undang-undang atau peraturan atau apa-apa perkara yang mempunyai kaitan dengan hal ehwal parti adalah muktamad dan konklusif.

“…dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa juga alasan, dan tiada mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau menentukan apa-apa saman, permohonan, persoalan atau prosiding atas apa-apa alasan berhubung kesahihan keputusan itu,” katanya dan menolak permohonan semakan kehakiman itu tanpa kos.

Kesemua 16 pemohon itu memfailkan permohonan kebenaran semakan itu pada 20 April lepas.

Mereka ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim yang kesemuanya bekas anggota UMNO dari enam negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Dalam permohonan itu, mereka menuntut perintah certiorari untuk membatalkan keputusan RoS yang memberikan perlanjutan masa sebanyak dua kali, melebihi tempoh maksimum bagi pemilihan UMNO, seperti yang diumumkan oleh RoS melalui kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus bagi mendesak RoS dengan serta-merta membubarkan UMNO dan supaya RoS menggantung semua aktiviti UMNO sehingga semakan kehakiman selesai.

Turut dipohon deklarasi bahawa semua cawangan UMNO, telah secara automatik terbubar dan tidak mempunyai kuasa yang sah di sisi undang-undang termasuk pembubaran semua bahagian parti dan Majlis Tertinggi UMNO bermula 20 April 2018.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili kesemua pemohon berkata beliau akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini secepat mungkin.

— BERNAMA