Home Utama Lebih pilihan untuk pengundi, lebih tekanan buat calon – Penganalisis

Lebih pilihan untuk pengundi, lebih tekanan buat calon – Penganalisis

Calon Barisan Nasional P.075 Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) berbual mesra dengan calon PAS P.075 Bagan Datuk, Ata Abdul Muniem Hasan Adli (kanan) dan calon PAS N.053 Rungkup, Mohd Mohkheri Jalil (kiri) selepas selesai menghantar borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon P.075 Bagan Datuk, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, Bagan Datuk, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 28 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Bilangan calon yang ramai untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) memberi lebih pilihan kepada para pengundi, tetapi ia meningkatkan tekanan untuk calon kerana bakal memecah undi dan menggugat peluang untuk menang, menurut penganalisis politik.

Pertembungan tiga atau lebih penjuru di kebanyakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara. sekali gus ‘membuka mata’ pengundi untuk menilai parti dan calon yang mereka rasa mampu membawa perubahan di kawasan mereka, kata Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan daripada Universiti Malaya.

“Contohnya di kedai makan, lagi banyak menu makanan pilihan lagi bagus, walaupun ada sedikit dikatakan rambang mata memandang. Sama seperti ketika PRU, lebih banyak pertembungan penjuru sebenarnya memberi kelebihan kepada rakyat untuk membuat keputusan terbaik sama ada pemimpin daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) ataupun Gagasan Sejahtera.

“Rakyat pun sudah semakin matang dan saya yakin mereka dapat membuat keputusan terbaik untuk masa depan negara kerana ‘ibu’ segala PRU adalah pilihan mereka pada hari penentuan iaitu 9 Mei ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir berpendapat pertandingan pelbagai penjuru bakal memecahkan undi pembangkang menentang BN.

“Selain dapat memberi pilihan kepada pengundi, ia sedikit sebanyak mempengaruhi pecahan undi terutamanya di kerusi marginal yang memperoleh undi majoriti sedikit pada PRU lepas.

“Pertandingan pelbagai penjuru ini sebenarnya berpihak kepada BN secara tidak langsung kerana cabaran pembangkang adalah undi mereka akan dipecahkan kerana berlakunya pertindihan,” katanya.

Jeniri berkata antara perebutan yang bakal menjadi tumpuan adalah pertandingan kerusi Parlimen di Kuching (Sarawak), Ayer Hitam (Johor), Teluk Intan (Perak) dan Langkawi (Kedah).

“Sudah pasti kesemua tumpuan akan diberikan kepada tokoh-tokoh parti ke kawasan-kawasan yang turut menampilkan pihak lawan yang sama kuat dengan mereka. Sebagai contoh, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong yang akan berlawan dengan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang terkenal dengan bersuara lantang di Teluk Intan pasti akan menjadi tumpuan khususnya dalam kalangan pengundi-pengundi Cina,” katanya.

Mengulas pertarungan di Sabah dan Sarawak, Jeniri berkata berbeza dengan Semenanjung, pengundi di Sabah dan Sarawak tidak dipengaruhi oleh faktor parti sebaliknya lebih cenderung ke arah pemilihan calon bertanding.

“Aspek calon adalah yang paling ketara kerana hasil kajian menunjukkan faktor calon begitu penting berbanding parti kerana pengundi-pengundi di Sabah dan Sarawak, semangat lokalti mereka sangat kuat berdasarkan kepelbagaian etnik.

“Sebagai contoh, kawasan yang majoritinya terdiri daripada kaum Kadazan, Dusun, Murut di Sabah sudah tentu mahukan calon mereka yang berasal dari kawasan dan kaum yang sama kerana dapat memahami permasalahan mereka secara dekat,” katanya.

Jeniri berkata BN juga tidak boleh memandang ringan terhadap pengaruh-pengaruh ‘blok pembangkang’ di Sabah yang mewakili suku kaum masing-masing.

“Sebagai contoh, Parti Warisan Sabah yang dipimpin oleh bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sangat kuat kerana kemampuan beliau menyatupadukan orang Sabah dari semua warna kulit, kepercayaan dan latar belakang.

“Jadi, kerusi-kerusi majoriti Kadazandusun Murut, terutamanya di Semporna dan Tenom harus diberi tumpuan,” katanya. – MalaysiaGazette