Home Politik Nik Omar membelakangkan nasihat bonda?

Nik Omar membelakangkan nasihat bonda?

Nik Omar (kiri) sebelum ini menafikan menyertai PAN, manakala Nik Abduh pula berpindah ke Parlimen Bachok.
Nik Omar (kiri) sebelum ini menafikan menyertai PAN, manakala Nik Abduh pula berpindah ke Parlimen Bachok.

KUALA LUMPUR – Dua anak lelaki Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini, selepas menyerahkan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya di kawasan parlimen masing-masing.

Nik Omar, yang membuat kejutan dengan muncul sebagai calon Pakatan Harapan (PH), bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka dalam Parlimen Pengkalan Chepa, manakala adiknya, Nik Mohamad Abduh bertanding di kerusi Parlimen Bachok atas tiket Pas.

Nik Omar, anak sulung kepada bekas Mursyidul Am Pas itu sebelum ini, menolak spekulasi media yang beliau akan bertanding PRU14 atas tiket PH dan dikuatkan dengan laporan kononnya penolakan itu disebabkan ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak tidak mengizinkannya terlibat dalam mana-mana parti politik, termasuk Pas.

Bagaimanapun, kehadirannya di Pusat Penamaan Calon di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kelantan di Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu pagi ini dengan memakai baju Melayu berwarna putih krim mengejutkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Beliau akan bertanding melawan tiga penjuru dengan calon BN, Fareez Amran dan calon Pas yang juga penyandang kerusi itu, Ahmad Fathan Mahmood.

Nik Mohamad Abduh juga berlawan tiga penjuru di Parlimen Bachok menentang calon BN, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan calon PH, Zulkifli Zakaria.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu sebelum ini disebut akan bertanding di Parlimen Rantau Panjang, tetapi dibatalkan pada saat akhir kerana parti memerlukan beliau menang di Bachok.

Penglibatan dua anak bekas Menteri Besar Kelantan itu turut menimbulkan tanda tanya berhubung haluan politik masing-masing berikutan keputusan Nik Omar menyertai Parti Amanah Negara (PAN), sedangkan Nik Mohamad Abduh dalam Pas. – MalaysiaGazette