Home Utama Raja Bomoh bankrap, tidak muncul di pusat penamaan Bagan Datuk

Raja Bomoh bankrap, tidak muncul di pusat penamaan Bagan Datuk

Raja Bomoh umum jadi calon bebas lawan TPM hari ini.

BAGAN DATUK – Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh tidak hadir di pusat penamaan calon di Bagan Datuk kerana status bankrap yang dihadapi beliau menghalangnya menjadi calon.

Ibrahim tidak kelihatan semasa proses penyerahan borang pencalonan bagi P075, Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk.

Beliau sebelum ini bersungguh-sungguh mahu menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun tidak hadir selepas proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Datuk Hamzah Hussin.

Parlimen Bagan Datuk hari ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada BN menentang calon PKR, Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli dari Pas.

Sementara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), N53 Rungkup ditandingi Datuk Shahrul Zaman Yahya daripada BN, Mohd Mohkheri Jalil daripada Pas dan Hatim Musa dari PKR.

Bagi N54 Hutan Melintang turut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Khairuddin Tarmizi dari BN, Mohd Misbahul Munir Masduki daripada Pas, dan
PKR, G Manivannan. -MalaysiaGazette