Home Politik Tiada konflik antara PAS, Berjasa

Tiada konflik antara PAS, Berjasa

Calon Berjasa P.078 Cameron Highlands, Mohd Tahir Kasim (tengah) ketika hadir pada penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon P.078 Cameron Highlands di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 28 APRIL 2018

CAMERON HIGHLANDS – Tiada konflik berlaku antara Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa) dan PAS yang menyaksikan calon daripada kedua-dua parti itu bertanding di Parlimen Cameron Highland pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 9 Mei depan.

Naib Presiden Berjasa, Mohd Shokri Mahmood berkata, sebagai parti serpihan PAS, pihaknya memang menyerahkan sepenuhnya kepada parti itu untuk membuat penyelarasan calon di seluruh negara.

Ini selari dengan kerjasama mereka sebagai parti komponen baru dalam gabungan Gagasan Sejahtera yang diasaskan Pas, bersama ahli politik lain.

Bagaimanapun, Mohd Shokri berkata, pertindihan calon di Parlimen Cameron Highlands disebabkan persiapan awal Berjasa di situ terutama selepas beliau sendiri bertanding pada PRU ke-13 pada 2013.

“Kita memang sudah `bekerja’ di sini daripada awal dan kita berterusan berkhidmat kepada pengundi di sini.

“Khidmat kami kepada masyarakat dan pengundi bukan bermusim, bukan hanya sekadar menjelang pilihan raya,” katanya mengulas mengenai pencalonan Yang DiPertua Bahagian Cameron Highlands, Mohd Tahir Kasim di kerusi Parlimen itu, kali ini.

Pencalonan tunggal Berjasa pada PRU ke-14 kali ini menyaksikan perebutan kerusi lima penjuru membabitkan Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh, M Manogaran (PKR), B Suresh Kumar (Parti Sosialis Malaysia).

Namun, pertembungan yang turut membabitkan calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS) menimbulkan tanda tanya.

“Tiada masalah sebenarnya. Isu utama adalah berkhidmat kepada rakyat. Kita ingin semua tumpuan ke arah rakyat bukan individu,” kata Mohd Shokri.

Tegasnya, atas prinsip itu juga, beliau sendiri melepaskan kerusi yang ditandingi pada 2013 kepada Mohd Tahir yang disifatkan mempunyai hubungan lebih rapat dengan penduduk tempatan menerusi kerja-kerja dakwah yang dilakukan sejak 30 tahun lalu.- MalaysiaGazette