Abdul Hadi menasihatkan kepada ketiga-tiga anak bekas pemimpin Pas ini tidak mengikut haluan Pakatan Harapan.
Abdul Hadi menasihatkan kepada ketiga-tiga anak bekas pemimpin Pas ini tidak mengikut haluan Pakatan Harapan.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan anak kepada bekas pemimpin parti itu tidak bersama Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana, katanya, tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatua Malaysia (PPBM) itu dan pembantunya (dipercayai Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) telah menebuk bahtera Barisan Nasional (BN) sehingga menjadi bocor dimasuki air dan keadaannya sangat merbahaya.

“Maka (dengan sebab itu) Pas tidak bersama BN dan tidak juga (bersama) PH,” katanya dalam kenyataan berbentuk surat terbuka kepada anak-anak pemimpin yang meninggalkan perjuangan ayahnya, hari ini.

‘Surat’ terbuka itu dipercayai merujuk kepada dua anak bekas Presiden Pas dan seorang anak bekas Murysidul Am yang menyertai PH.

Mereka ialah Dr. Mujahid, anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Yusof Rawa dari tahun 1982 hingga 1989; Muhammad Faiz, anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor (1989 hingga Julai 2002); dan Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr. Mujahid yang menyandang kerusi Parlimen Parit Buntar dicabar calon BN, Abdul Puhat Mat Nayan dan calon Pas, Ahmad Azhar Sharin.

Muhammad Faiz pula memilih untuk bertanding di kerusi DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang melawan calon Pas, Muhammad Fauzi Yusoff dan Anuar Faisal Yahaya (BN), manakala Nik Omar bertanding di kerusi DUN Chempaka, Kelantan dalam pertandingan tiga penjuru dengan penyandangnya, Ahmad Fathan Mahmood (Pas) dan Mohamed Fareez Noor Amran (BN).

Dalam tulisan itu, Abdul Hadi berkias dengan kisah anak Nabi Nuh A.S yang memperlekehkan bahtera ayahnya dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkannya daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan.

Beliau yang menganggap ketiga-tiga mereka ini sebagai anaknya, berkata, sepatutnya anak-anak pemimpin Pas tidak bersama bahtera PH yang menjadi dinakhodai Mahathir yang telah merosakkan BN.

Abdul Hadi yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada PRU14 pada 9 Mei ini berkata, menarik mengenai bahtera PH ialah parti itu telah mengumpulkan kumpulan DAP yang anti Islam secara terbuka.

“Pemimpin utamanya pula adalah pemikir pemutar alam yang dilihat bijaksana tanpa bijaksini, lebih memenangkan akal terhadap nas al-Quran dan tidak yakin kepada kitab hadis seperti Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain serta tidak percaya kepada para ulama dalam perkara politik.

“Bersama PH juga kumpulan Islam Liberal dan pengamat politik yang tidak matang dan sejahtera. Mereka semata-mata mahu melompat ke Putrajaya dan pernah terpaksa berpatah balik melompat ke Kajang yang menjadikannya makin jauh daripada Putrajaya.

“Kajian politiknya mengira di atas kertas dan memegang telefon bimbit secara mudah, bukannya dirujuk betul di atas lapangan rakyat secara terperinci,” ujarnya.

Beliau berkata, penasihat gerakan Islamnya pula daripada Arab yang berbahasa al-Quran, tetapi tidak matang menterjemahkan politik Islam dalam Bahasa Malaysia dan berpijak di buminya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast