KUANTAN – Barisan Nasional Parlimen Kuantan melancarkan manifesto bertemakan Kuantan Baharu dan Progresif sempena PRU-14.
Calonnya, Datuk Andrew Wong berkata, manifesto tersebut menggariskan lima inisiatif dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi di bandar itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ia adalah kesinambungan manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal bulan ini, katanya.
“Kita memberi tumpuan khusus terhadap proses perkongsian ekonomi dan menjelang pertengahan tahun ini, Pelabuhan Kuantan akan diiktiraf sebagai pelabuhan bebas cukai dan seterusnya memberi peluang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Ia bukan sahaja akan menyediakan limpahan peluang pekerjaan, tapi bakal memacu perkembangan Kuantan sebagai bandar serba maju dan turut memberi impak terhadap sektor hiliran lain seperti pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN Kuantan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Andy Chew.
Andrew menambah, BN turut komited untuk meningkatkan infrastruktur di daerah ini dengan mencadangkan pembinaan lebih banyak persimpangan bertingkat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Katanya, kawasan pelancongan sedia ada akan dinaiktaraf di samping meneroka lokasi pelancongan baharu yang berpotensi dimajukan.
“Kita memang ada produk (pelancongan), cuma ada antaranya perlu dinaiktaraf untuk memberi keselesaan kepada pengunjung. Saya yakin apabila siap projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), lebih ramai (pelancong) akan bertumpu di sini.
“Itulah sebabnya, ada destinasi perlu ditambah baik (infrastruktur) dan dalam pada masa yang sama, kita perlu teroka destinasi baharu untuk dijadikan produk pelancongan.
“Saya juga bercadang untuk perkenalkan atau membangunkan perkampungan budaya bagi mempromosikan kraf tangan dan juadah tradisional tempatan melibatkan penduduk yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India,” katanya.
Bagi teras terakhir dalam manifestonya, Andrew berkata, tumpuan juga akan diberikan kepada golongan orang kelainan upaya dan warga tua.
Katanya, perkara itu menjadi asas kepada pembentukan kerajaan yang berkebajikan dan mengambil berat dengan masalah dihadapi rakyatnya.
”Ini adalah komitmen kerajaan sejak dahulu lagi, kita sentiasa mengambil berat terhadap masalah atau kesukaran dihadapi rakyat. Kita akan teruskan usaha membela nasib rakyat tanpa mengira siapa mereka,sama ada Melayu, Cina atau India da kita akan bantu,” katanya. – MalaysiaGazette
















