Home Ekonomi Pelabur asing beli RM24.6j ekuiti minggu lalu

Pelabur asing beli RM24.6j ekuiti minggu lalu

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur asing membeli sebanyak RM24.6 juta ekuiti dalam bursa tempatan pada minggu lalu, aliran masuk kedua terendah dalam tahun ini.

Ia merupakan permulaan sederhana pada minggu itu dengan belian asing sebanyak RM35.9 juta pada hari Isnin, menurut MIDF Research.

Bagaimanapun, situasi panik menguasai pasaran pada hari Selasa berikutan kebimbangan kenaikan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat akan meningkatkan aliran keluar daripada pasaran-pasaran ekonomi baru muncul.

Firma penyelidikan itu berkata, situasi tersebut menyebabkan pengeluaran dana asing sebanyak RM191.4 juta ekuiti pada hari Selasa, paras tertinggi sejak 28 Mac lalu.

Indeks FBM KLCI juga menyusut dalam tempoh dua minggu sebanyak 0.80 peratus pada hari sama.

Walaupun kebimbangan berterusan terhadap kenaikan Perbendaharaan Amerika Syarikat, penjualan menyusut secara berperingkat-peringkat sehingga RM9.20 juta pada hari Khamis, dipacu oleh kestabilan harga minyak mentah, kata MIDF Research.

Pelabur asing kembali ke bursa pada hari Jumaat dengan belian sehingga RM277.3 juta dengan FBM KLCI kembali melepasi 1,860 mata selepas dua hari mengalami kejatuhan, sekaligus menjadi Malaysia antara bursa ASEAN yang menjadi pilihan pelabur.

Tinggal sehari lagi berada dalam bulan April, jumlah aliran kemasukan pelabur asing berjumlah RM1.26 bilion, menjadikan jumlah sejak Januari lalu RM3.46 bilion.

Penyertaan asing masih kekal berdaya saing dengan nilai purata dagangan harian bagi minggu ke-16 tahun ini melepasi RM1 bilion. – MalaysiaGazette