Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak bersama Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kiri) dan Calon Barisan Nasional P.124 Bandar Tun Razak, Adnan Seman (kiri) melaungkan "Hebat Negaraku" pada Majlis Minum Petang Bersama Pengundi dan Jentera P.124 Bandar Tun Razak sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Flat Sri Johor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memohon agar pengundi Bandar Tun Razak mengembalikan kawasan yang  menggunakan nama ayahandanya ke tangan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN itu menyifatkan kawasan tersebut memberikan nilai sentimental kepadanya kerana nama parlimen tersebut  sempena nama Allahyarham Tun Abdul Razak Tun Hussein, beliau yakin jentera BN akan menebus kesilapan yang lalu yang mengakibatkan kawasan itu ‘dijajah’ pembangkang.

“Tolonglah saya, tolonglah keluarga Tun Razak kembalikan Bandar Tun Razak kepada BN. 

“Saya datang ke Bandar Tun Razak saya geram sebab nama kawasan ini nama ayahanda saya macam mana tak jadi (milik) BN lagi.

“Saya tanya di mana silapnya tapi kita ada peluang sekarang ini untuk betulkan kita akan pastikan BN For Bandar Tun Razak sebab tuan dan puan (jentera parti) sudah bekerja sekian lama,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan jentera parti ketika program Minum Petang di Padang Perumahan Awam Sri Johor di sini hari ini. 

Ucapan yang bertenaga dari Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Minum Petang Bersama Pengundi dan Jentera P.124 Bandar Tun Razak sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Flat Sri Johor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MEI 2018.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan Pengerusi MCA kawasan itu, Datuk Chew Yin Keen.

Najib selain itu menyebut nama calon parlimen itu yang juga muka baharu yang diketengahkan iaitu Adnan Seman merupakan calon selayaknya yang bakal berkhidmat dengan rakyat atas nama anak jati dan dari generasi muda. 

“Kita tidak mahu orang-orang luar, orang yang pindah randah kita tak mahu, kita juga tak mahu orang tempatan yang tidak lama di sini, kita nak anak tempatan jati sebab itulah kita pilih Adnan Seman.

“Apa lagi kekurangan pada beliau? Susuk badannya boleh tahan kelulusannya pun hebat, ada law degree (ijazah dalam bidang guaman), petah bercakap dia boleh jadi peguam siapa yang pergi mahkamah.

“Master degree pun pengurusan cekap bukan loyar buruk..loyer ni boleh harap tuan dan puan,” katanya lagi. 

Berbeza dengan parti pembangkang, ujar Najib, calon yang diletakkan hanya sekadar memenuhi agenda peribadi menjadi ahli parlimen tetapi gagal membela rakyat.

“Pembangkang pilih calon bukan berdasarkan berkhidmat kepada rakyat sebab itu wakil rakyat dia ‘berpindah’ kepada negeri lain, kawasan lain. 

“Bandar Tun Razak ini batu loncatan sahaja nak duduk di parlimen, bersuara ada agenda sendiri kita mahu orang yang ada agenda rakyat di sini.-MalaysiaGazette