Para pekerja sektor awam dan sektor swasta mengangkat membaca lafaz ikrar hari pekerja pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MEI 2018
Para pekerja sektor awam dan sektor swasta mengangkat membaca lafaz ikrar hari pekerja pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan menaikkan kadar gaji minimum lebih tinggi kepada pekerja sektor awam sekiranya rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Perdana Menteri berkata, mengikut Akujanji Manifesto BN bagi PRU14, beliau berjanji akan meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

“Kadar baharu ini akan kita umumkan tahun ini juga. Jika nak kadarnya lebih tinggi, kena undi bagi BN menang dulu,” katanya berucap menyampaikan Amanat Khas Sambutan Hari Pekerja di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Najib, selepas mengambilalih kepimpinan kerajaan Persekutuan pada 2009, beliau akan memastikan nasib rakyat dan wrga pekerja mesti didahulukan.

Buktinya, kata beliau, dalam hal kebajikan pekerja, sejak dari 1998, beliau dimaklumkan MTUC telah memperjuangkan dasar gaji minimum, tetapi pemimpin utama kerajaan pada ketika itu, langsung tidak mengendahkan permintaan itu dan terus membiarkan nasib pekerja bergaji serendah RM400 sebulan.

“Tatkala dalam masa hanya setahun saja selepas saya menerajui kerajaan pada 2009, antara perkara pertama yang saya lakukan adalah mengumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan semasa membentangkan Bajet 2011 pada 15 Oktober 2010.

“Manakala dalam tempoh kurang dari setahun juga, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah dikuatkuasakan mulai 15 September 2011.

“Malahan, beberapa bulan kemudian tanpa perlu menunggu 22 tahun, sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan Persekutuan sempena Hari Pekerja 2012, saya mengumumkan kadar gaji minimum kepada seluruh warga pekerja iaitu RM900 bagi Semenanjung dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, tidak terhenti di situ sahaja, apabila tahun 2016, kadar gaji minimum ditingkatkan lagi sebanyak 11 peratus dan 15 peratus menjadikan RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak.

Mengenai kejayaan kerajaan BN, Najib berkata, enam dekad bukanlah waktu yang singkat, kerana sepanjang tempoh itu pentadbiran kerajaan BN telah berjaya dan sudah membuktikkan segala-galanya.

Malah, kata beliau, pada 3 April lalu, genap sembilan tahun mengambil alih tampuk kepimpinan, beliau telah melakukan sehabis baik untuk mentransformasikan negara dengan berpaksikan kepada dua falsafah besar iaitu Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan pada tahun 2009.

“Serta Dasar Transformasi Nasional pada 2010, dengan diperkukuhkan lagi oleh prinsip Maqasid Syariah, berpendekatan pula Wasatiyah atau moderat.

“Diikuti pula dengan beberapa dasar dan inisiatif utama lain, antaranya, Program Transformasi Negara dengan berpegang atas prinsip No One Is Left Behind,” katanya. – MalaysiaGazette