Aminuddin Omar
Aminuddin Omar

ALOR SETAR – Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar menjadi mangsa terbaharu berita palsu apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi hubungan beliau dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Aminuddin mendedahkan tersebar pesanan khidmat ringkas yang mendakwa seolah-olah beliau akan memberikan kemenangan mudah kepada Mukhriz di Jitra dengan tidak menggerakkan jentera dengan bersungguh-sungguh semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ada orang datang bertanyakan kepada saya tentang cerita ini, mendakwa saya ini bertanding hanya saja-saja.

“Maksudnya, saya takkan bekerja kuat dan tak menggerakkan jentera untuk beri kemenangan kepada Mukhriz… kata mereka bahawa saya sahabat baik kepada Mukhriz dan memberikan alasan itu saya tidak akan bekerja kuat dalam pilihan raya ini,” kata beliau.

Berita palsu itu, menurut Aminuddin, sudah tersebar sejak tiga hari lalu dan hanya diketahui selepas diberitahu oleh seseorang baru-baru ini.

Aminuddin menyifatkan ia strategi kotor digunakan pembangkang bertujuan mencetuskan rasa curiga dalam kalangan pengundi dan mempengaruhi mereka untuk tidak menyokong BN.

“Ini cara kempen setengah pihak untuk main emosi pengundi untuk nak memberi sedikit rasa was-was di kalangan pengundi di DUN Jitra khususnya.

“Bila mana berita ini keluar mereka akan juga terpengaruh dengan cara mainan dibuat oleh pihak terbabit ini,” katanya.

Jelas beliau, tindakan itu merupakan perang saraf dan mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab tersebut.

“Ini adalah perang saraf, saya tak pasti siapa yang lakukan mungkin ada pakar sebelah sana yang mainkan isu macam ini untuk melemahkan jentera parti.

“Saya mengecam keras tindakan sebegini dan sepatutnya berkempen lah secara sihat dan mengikut lunas agama dan jagan melampaui batas,” kata beliau. – MalaysiaGazzette