BALING – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim mempunyai perancangan untuk menjadikan daerah tersebut sebagai sebuah ikon pelancongan terkemuka memandangkan permukaan geografinya unik berlatar belakang gunung dan kawasan hijau yang masih terpelihara cantik.

Abdul Azeez berkata, Baling mempunyai potensi besar jika industri pelancongannya diketengahkan dan pada masa sama akan menyumbang pembangunan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Sememangnya kami ada perancangan strategik untuk menaikkan daerah Baling sebagai pusat pelancongan… hutan disini banyak, air terjun bersih dan kawasan hijau disini masih terpelihara.

“Di sini juga banyak kawasan agro, jadi ia suatu yang unik untuk mengetengahkan sektor pertanian bersama-sama industri pelancongan,” katanya semasa ditemui selepas pertemuan majlis makan malam bersama Persatuan Murid Tua York Chee Woon semalam.

Sekiranya BN memenangi kerusi tersebut, Abdul Azeez berkata akan memberi tanggungjawab kepada calon DUN Bayu, Mohamed Noor Mohamed Amin untuk menaikkan industri pelancongan di Baling.

“Mohamed Noor akan fokus pelancongan, di Kuala Ketil pula kita akan fokus kepada perindustrian,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, projek besar bernilai RM1.5 bilion juga dibawa oleh beliau ke Baling dan ia hasil kepercayaan yang diberi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melihat kepada potensi yang ada di kawasan tersebut.

“Sebanyak RM1.5 bilion projek berjaya dibawa ke sini, masalah air sudah tidak ada, tebatan banjir pun sudah dibina.

“Kita juga sedang bikin lebuh raya ke Sungai Petani, Kuala Ketil… ini semua tidak ada tol,” ujarnya lagi.

Selain itu, tiga manifesto utama yang diperjuangkan iaitu membina Masjid Daerah, Hospital Pakar dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hampir menjadi nyata.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kali ini, Abdul Azeez mensasarkan lima teras dalam manifestonya kepada rakyat Baling, iaitu berkaitan pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, perumahan dan membasmi masalah dadah.

“Berkaitan pendidikan, saya mahu ubah rakyat Baling supaya mendapat kualiti pendidikan yang terbaik dan kita mahu menjadikan mereka seorang yang intelektual dan berjaya.

“Kedua, kita tahu rakyat Baling memerlukan perhatian dalam isu kesihatan jadi kita bina hospital pakar dan dalam perancangan adalah hospital pesakit luar yang akan dibina jika BN menang.

“Ketiga, kita sudah dapat tanah untuk membina pusat perindustrian dan ini akan memberi peluang pekerjaan kepada 20 ribu orang.

“Keempat, kita sudah merayu kepada kerajaan pusat untuk bina rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Dan terakhir, kita mahu menjadikan daerah Baling ini sifar penagihan dadah kerana disini isu jumlah penagih dadah adalah kedua tertinggi di Kedah hampir tiga ribu orang,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette