Puncak Niaga
Pengarah Eksekutif Bahagian Sumber Strategik dan Perhubungan Awam Puncak Niaga Holdings Bhd., Datuk Dr Mohd Zainul Fitri Othman bercakap kepada media mengenai pembohongan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali terhadap krisis air di sekitar lembah kelang di Selayang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 MEI 2018

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus menabur fitnah dan mengelirukan rakyat berhubung isu air sekiranya beliau terus menjadi Menteri Besar di Selangor.

GOMBAK – Pengarah Eksekutif Bahagian Sumber Strategik dan Perhubungan Awam Puncak Niaga Holdings Bhd, Datuk Mohd Zainul Fithri Othman berkata, Mohamed Azmin telah mengeluarkan kenyataan dengan fakta tidak tepat dan menjatuhkan imej Puncak Niaga yang menguruskan air.

Menurutnya, masalah air di Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah krisis yang tercetus apabila kerajaan Selangor tidak meluluskan banyak program pembangunan air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada 2008.

“Kalau dulu semasa Puncak Niaga mentadbir, kami dihalang dari melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan penambakan.

“Kenapa apabila Parti Keadilan Rakyat mengambil alih pengurusan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan pada tahun 2008 krisis ini masih ada dan berterusan dan belum dibaik pulih sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sini hari.

Mohd Zainul berkata demikian membidas kenyataan Mohamed Azmin menerusi sebuah video yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Dalam video tersebut Mohamed Azmin memberi penjelasan apabila ditanya oleh seorang tetamu berhubung masalah air yang berlaku di Selangor.

Beliau dilihat menggunakan beberapa fakta untuk menguatkan kenyataannya itu.

Dalam pada itu, Mohd Zainul menegaskan maklumat mengenai takrif air yang disampaikan oleh Azmin di dalam video berkenaan juga tidak tepat.

Ini kerana katanya, tarif air tidak pernah dinaikkan sehinggalah Syabas diserahkan semula kepada kerajaan negeri Selangor pada 2015.

Tambah beliau, perbandingan yang dibuat oleh Mohamed Azmin dengan menyamakan tarif petrol dengan air juga dilihat sangat mengelirukan.

“Kenyataan ini amat mengelirukan kerana tarif air sebenarnya diukur dalam meter padu, manakala petrol diukur dalam liter.

“Tarif air yang kononnya dikatakan RM3.20 setiap meter padu bagi tarif domestik tidak wujud langsung.

“Kadar tarif yang kami tetapkan selepas kenaikan tarif air yang pertama ialah hanya 57 sen bagi seribu liter untuk tarif domestik,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Zainul berkata, Mohamed Azmin sekali lagi cuba mengelirukan rakyat apabila memainkan isu penswastaan dalam pengurusan air.

Katanya, Azmin bijak menggunakan kata-katanya apabila menjadikan perkara itu sebagai senjata untuk menyerang Puncak Niaga.

“Dasar penswastaan ini dilaksanakan semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan kami syarikat-syarikat swasta melaksanakan dasar-dasar ini.

“Persoalannya, kenapa Azmin tidak mengkrikitk orang yang membuat dasar penswastaan ini dan kenapa beliau duduk semeja dengan orang yang menggubal dasar penswataan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Mohd Zainul menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Pertubuhan Perkhidmatan Sosial dan pembangunan komuniti Daerah Gombak Selangor (PSPK).  – MalaysiaGazette