Jorge Santos Silva. Foto Facebook Rasmi Johor Southern Tigers.
Jorge Santos Silva. Foto Facebook Rasmi Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan kemasukan penyerang import baharu dari Brazil, Jorge Santos Silva.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest melalui laman facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST) sebentar tadi.

“Kelab telah mencapai persetujuan dengan Al-Batin FC dari Arab Saudi atas perpindahan Jorge Santos Silva. Beliau akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

“Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain yang berkaliber dan pemain yang dahagakan sesuatu pencapaian terbaik, serta ingin menjadi sebahagian daripada kelab yang paling pesat berkembang, dan sentiasa mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya dalam segala aspek,” kata kenyataan itu.

Kemasukan penyerang yang berusia 31 tahun itu menguatkan lagi bahagian serangan pasukan JDT yang kini dibarisi oleh Gonzalo Cabrera dan seorang lagi penyerang import yang dibawa masuk iaitu Harry Novillo.

Santos Silva sebelum ini pernah beraksi dalam saingan Liga Korea dengan kelab Daegu FC. Malaysia ialah destinasi negara asia yang ketiga beliau selepas Korea dan Arab Saudi.

JDT kini menghuni kedudukan teratas Liga Super dengan 21 mata selepas 8 perlawanan. Mereka menyasarkan untuk menjadi juara liga super buat kali kelima berturut-turut bagi memastikan tempat dalam saingan AFC Champions League musim depan. – MalaysiaGazette