KUALA LUMPUR – Sebanyak 45 peratus pegawai dan anggota keselamatan serta pasangan telah mengundi awal setakat 11 pagi ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, sebanyak 36 peratus anggota dan pegawai polis serta pasangan mengundi awal di Bukit Aman setakat 12 tengahari tadi.
“Jumlah pengundi awal melibatkan anggota dan pegawai polis di Bukit Aman ialah seramai 7,466 orang sahaja.
“Untuk maklumkan semua pada hari ini sahaja sebanyak 278,590 orang anggota dan pegawai beserta pasangan adalah pengundi awal dan daripada jumlah itu seramai 118,913 adalah polis dan 159 677 adalah tentera dan pasangan.
“Ini proses undi awal yang dilaksanakan tanpa masalah sejak dahulu lagi oleh SPR,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini.
Ditanya mengenai pesara polis yang masih mengundi awal di Bukit Aman, beliau menegaskan, mereka masih dibenarkan berbuat demikian.
“Tak salah pun jika mereka mengundi awal walaupun sudah bersara. Kita tidak boleh paksa atau pujuk dia tukar, kerana mungkin dia selepas bersara tidak sempat untuk menukar status kepada pengundi biasa.
“Bekas KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar pun sudah bersara dan masih boleh mengundi awal, tak salah pun di sisi SPR, mereka kena memohon sendiri menukar statusnya sebagai pengundi biasa dan kita tidak memaksa mereka kerana itu hak mereka,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan seorang calon bertanding dan wakil calon yang tidak dibenarkan masuk ke kem tentera semasa berlangsung proses undi awal hari ini, katanya, beliau belum menerima sebarang laporan mengenainya dan berjanji akan melihat perkara itu. – MalaysiaGazette
















