Presiden PERMIM, Dhajudeen Shahul Hameed (kanan) bercakap pada sidang media bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018.
Presiden PERMIM, Dhajudeen Shahul Hameed (kanan) bercakap pada sidang media bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Lebih 700,000 masyarakat India Muslim dijangka menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Menurut Presiden Persatuan India Muslim Malaysia (Permim), Dhajudeen Shahul Hameed turut mewakili hampir 120 pertubuhan bukan kerajaan India Muslim, pihaknya yakin dengan kerajaan BN yang sejak merdeka berusaha menyelesaikan pelbagai isu berkaitan komuniti itu.

Jelas beliau, bagaimanapun pihaknya tidak akan meletakkan sebarang syarat kepada pengundi India Muslim ketika mengundi kerana ia merupakan hak individu untuk menilai siapa yang layak menerajui negara.

“Kita tidak letakkan syarat atau mengatakan tiap undi daripada komuniti kita yang hampir lebih 700,000 akan mengundi hanya BN. Tetapi pada masa yang sama kita rasa sejak merdeka sehingga kini, BN yang ada mendengar keluh kesah kami.

“Antara masalah utama yang menghantui kita sehingga saat ini adalah masalah status bumiputera yang tidak selesai hingga kini. Hakikatnya, keseluruhan komuniti kami harus diberikan dan diiktiraf sebagai bumiputera.

“PAda 2 Mei lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjanji akan menyelesaikan isu bumiputera itu selain daripada melantik seorang dari dalam kalangan kami di Jabatan Perdana Menteri bagi menguruskan hal ehwal berkaitan komuniti India Muslim.

“Ini sebenarnya komitmen yang telah diluahkan oleh Najib Razak sendiri kepada kami. Selain itu beliau juga akan memberikan dana peruntukan sebanyak RM10 juta setiap dua tahun bagi kami membangunkan pusat komuniti kami sendiri. Selain daripada itu, masalah kemasukan ke IPTA seperti UiTM, UIA juga akan diberi keutamaan.

“Bagi kami, komitmen serta janji ini adalah berita baik yang belum ditawarkan oleh mana-mana pihak lain. Dengan itu, sokongan kami juga akan dinyatakan pada PRU-14 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri 60 wakil gabungan lain seperti Presma, Liga Muslim dan Gapema.

Dalam pada itu, jelas Dhajudeen, keprihatinan yang ditunjukkan oleh Najib dan kerajaan BN terhadap kebajikan serta nasib komuniti India Muslim di negara sebenarnya melegakan pihak mereka.

“Kami juga telah berjuang untuk sekian lama bagi menyelsaikan pelbagai isu berkaitan komuniti kami terutamanya berhubung status kami, sekurang-kurangnya akan ada penyelesaian dari pihak kerajaan.

“Kepimpinan Najib Razak yang banyak memberi sokongan serta keutamaan sebenarnya memberikan kami keyakinan tentang hala tuju kami di negara ini. Bagaimanapun, ingin saya tekankan sekali lagi. Undi itu adalah hak induvidu.

“Kami tidak memaksa atau meletakkan sebarang syarat, sebaliknya itu adalah hak masing-masing untuk mengundi bagi masa depan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Dhajudeen Shahul Hameed (tengah) bersama wakil-wakil NGO India Muslim bergambar kenangan pada sidang media bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018.