KUALA LUMPUR – Satu rangkaian sindiket antarabangsa penyeludupan manusia melibatkan warga Sri Lanka berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.
Sindiket itu berjaya dibanteras Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Maritim Malaysia (Maritim) dalam Ops Kenal Aplha sekitar 2.02 pagi 2018 pada 1 Mei lalu.
Sindiket itu ditahan dengan memintas sebuah kapal tangki yang telah diubahsuai tertera perkataan ‘ETRA’ ketika bergerak keluar menuju ke perairan antarabangsa dengan membawa warga Sri Lanka menggunakan laluan maritim di perairan Tanjung Gemuk, Sedili, Kota Tinggi Johor berjaya dipintas penguat kuasa Maritim dan polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata, polis turut menahan sebuah bot nelayan milik tempatan kelas A disyaki digunakan untuk mengangkut migran dari darat ke kapal ‘ETRA’ berkenaan.
“Pemeriksaan di atas kapal ‘ETRA’ seramai 131 orang warga Sri Lanka iaitu 98 lelaki dewasa 24 perempuan dan 4 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak wanita bersama tiga lelaki warga Indonesia, empat warga tempatan ditemui pihak berkuasa.
“Turut ditangkap ialah empat orang warga tempatan di sekitar Johor Bahru dan seorang warga tempatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang disyaki terlibat dalam menguruskan penyeludupan migran itu.
“Daripada jumlah itu seramai 16 orang ditahan untuk disiasat dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mengikut pecahan tangkapan adalah empat orang warga Sri Lanka, tiga warga Indonesia dan sembilan warga Malaysia.
Malah katanya, seramai 127 orang migran warga Sri Lanka yang ditangkap akan dituduh di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk keluar dari Malaysia melalui jalan tidak sah atau jalan tidak diwartakan.

“Dengan tangkapan ini, PDRM telah berjaya melumpuhkan sebuah rangkaian sindiket yang besar dan licik.
“Sindiket ini telah beroperasi sejak pertengahan tahun 2017 dan mempunyai rangakain antarabangsa, merentasi Sri Lanka, Australia, New Zealand, Indonesia dan Malaysia.
“PDRM akan meneruskan usaha untuk mengesan dan memanteras rangkaian penyeludupan manusia, demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara,” tegas beliau.-MalaysiaGazette
















