SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mempunyai kelainan berbanding pilihan raya sebelum ini khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kampung Kuantan apabila orang ramai sudah beratur panjang di pusat mengundi di sini seawal 8 pagi.

Malah lebih manis lagi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari sendiri merasai ‘aura’ daripada riak muka pengundi yang ceria dan positif terhadap partinya.

Azhari menjangkakan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini lebih tinggi dan ia bagaikan satu kejutan buat beliau terhadap sambuatan luar biasa yang diberikan pengundi, seolah-olah mahu menukar kerajaan di Selangor.

“Saya rasa peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini tinggi kerana seawal pagi pusat mengundi sudah sesak

“Peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi pula mencecah 80 peratus dan petanda awal ini saya yakin PRU14 bakal ada perubahan.

“Saya tengok riak muka dan perasaan pengundi semacam ada aura memihak BN kali ini di Shah Alam.

“Petanda-petanda ini bantu kita untuk tambah majoriti,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Bukit Kuda, di sini, hari ini.

Terdahulu, Azhari bersama isterinya, hadir ke pusat mengundi berkenaan untuk mengundi kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Azhari selaku Ketua UMNO Bahagian Shah Alam turut meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dengan ‘orang kampung’, kenalan lama dan pengundi di PDM Taman Kampung Kuantan.

Azhari juga tidak menolak BN mempunyai peluang cerah di Shah Alam khususnya kawasan majoriti Melayu yang dilihat mula kembali menyokong parti itu.

“Bila saya hadir ke pusat-pusat mengundi di sekitar Shah Alam, pengundi menyambut saya dengan senyuman dan mengucapkan tahniah walaupun keputusan belum keluar.

“Inilah petanda-petanda positif saya lihat rakyat kini kembali bersama BN,” katanya. – MalaysiaGazette