Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. foto: RTM.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-7 selepas mendapat mandat daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lalu.

Pelantikan Dr Mahathir disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dilihat sebagai catatan sejarah Malaysia memandangkan beliau juga pernah menerajui jawatan itu selama 22 tahun dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Dr Mahthir, 93, dipilih sebagai perdana menteri selepas mendapat persetujuan daripada PH yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

Pengerusi PH itu bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti 8,893 undi, menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Beliau memperoleh 18,954 undi mengalahkan Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN) yang mendapat 10,241 undi dan Zubir Ahmad (Pas) dengan 5,512 undi.

PH memenangi pilihan raya selepas mengalahkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah menerajui Malaysia sejak 61 tahun lalu, dilihat menyaksikan perubahan dalam lanskap politik terutama dalam kalangan pengundi Melayu dan golongan muda.

Dalam PRU itu, PH memperoleh 113 kerusi, BN (79) dan Pas 18 kerusi Parlimen berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan.

Dr Mahathir pada sidang media awal pagi tadi memaklumkan PH juga mendapat sokongan Warisan yang memenangi 8 kerusi. – MalaysiaGazette