Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Preseiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng (kanan) bercakap pada sidang media mengenai Mesyuarat Kabinet di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 MEI 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk tidak mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum- 14 (PRU14) di Sabah berikutan wujudnya elemen ‘rasuah’.

Mendedahkan perkara itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya tidak akan mengiktiraf seandainya terbukti wujud unsur rasuah sehingga penubuhan kerajaan di negeri tersebut

Kata beliau, kerajaan mendapati ada bukti berlaku manipulasi dan kekeliruan dalam perjalanan pilihan raya di Sabah.

“Saya beri contoh, di Sabah. Parti Warisan telah secara terang-terangan menang 35 buah kerusi tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus melakukan kiraan semula beberapa kali sehingga tiba-tiba ianya menjadi 29 kerusi daripada 35.

“Ada masalah pula sekarang kerana tidak boleh membentuk kerajaan, ada juga cubaan untuk membawa wakil rakyat tertentu untuk melompat menggunakan wang di Sabah” katanya pada sidang media di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tambah Dr. Mahathir yang baharu sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7, pihak kerajaan melihat semua insiden ini adalah elemen rasuah dan agenda tertentu.

“Kita boleh seandainya jika ada wakil rakyat yang sudah di undi rakyat berpindah parti atas dasar prinsip dan sebagainya. Tetapi kita tidak akan bertolak ansur sekiranya perpindahan itu berdasarkan ‘rasuah wang’ dengan mereka di beli.

“Ini tidak betul dan wajar. Kita juga tidak akan sesekali mengiktiraf ianya sebagai perubahan kerajaan yang betul dan telus,” tegas beliau.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 60 kerusi dan ada dua parti yang memperoleh jumlah kemenangan sama, iaitu BN serta WARISAN. Kedua-dua parti memiliki 29 kerusi.

Dalam keadaan itu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) memiliki dua calon.Semalam Presiden Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengumumkan keputusannya untuk bekerjasama dengan BN.

Langkah itu membolehkan BN memperoleh majoriti mudah di DUN Sabah dan membentuk kerajaan.  – MalaysiaGazette