Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata pengumuman barisan Kabinet oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media hari ini belum muktamad.

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Saya merujuk kepada pengumuman yang dibuat YAB Tun Mahathir Mohamad sebentar tadi mengenai perlantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

Saya telah ditanya mengenai ketiadaan wakil KEADILAN di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman perlantikan.

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang menjadi latar belakang kepada pengumuman tersebut:

1.     KEADILAN beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad; dan

2.     Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan.

YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sedang dalam perjalanan untuk berbincang dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilisasi Cheras mengenai perlantikan-perlantikan ini.

KEADILAN yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette