Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berharap kenyataan Rafizi Ramli berhubung pelantikan tiga menteri kanan Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Sabtu lalu merupakan kenyataan terakhir daripada Naib Presiden parti itu berhubung isu tersebut.

Saifuddin berkata, , parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu sudah sedia untuk meneruskan kerja yang diberikan oleh Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir.

“Selepas kenyataan daripada Rafizi, kami berpendapat ini adalah kenyataan pertama dan terakhir daripada beliau.

“Kita telah sedia untuk teruskan tugas yang sudah diberikan. Tidak timbul samada kami setuju atau tidak mengenai kenyataan beliau,” katanya di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana (YPK) ketika hadir pada pertemuan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin dan  Tun Mahathir hari ini.

Semalam, Rafizi mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai menteri kanan yang dibuat Tun Dr Mahathir dilakukan tanpa perbincangan dan rundingan dengan PKR.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa penyertaan PKR dan ia sepatutnya tidak boleh berlaku apabila pelantikan itu harus dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti PH.

Sebelum itu, beliau dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu belum muktamad kerana perbincangan masih berjalan.

Kerajaan baharu pimpinan Tun Mahathir mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan; Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri. – MalaysiaGazette