Ruhanie Ahmad
Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menghormati hak demokrasi rakyat Malaysia yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai parti pemerintah menggantikan Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu.

Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, pihaknya telah meneliti janji PH dalam halaman 83 hingga 85 manifestonya bagi PRU14 untuk memajukan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa di Malaysia.

Katanya, pertubuhan itu juga menyambut baik tindakan kerajaan PH melantik kumpulan pelbagai kepakaran sebagai penasihatnya dalam bidang kewangan, pelaburan, perdagangan, petroleum dan sosioekonomi negara.

“Dengan ini, Biro Ekonomi dan Agenda Bumiputera Perkasa (Binaputera) mendesak agar kerajaan PH prihatin terhadap masalah sosio ekonomi yang dihadapi oleh Bumiputera, makro atau mikro dan jangka panjang atau sebaliknya.

“Binaputera Perkasa juga menggesa kerajaan PH supaya tidak menyamaratakan hak absah sosio ekonomi Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, dengan hak absah rakyat Malaysia bukan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Pengerusi Binaputera itu, desakan dibuat atas beberapa faktor, antaranya perbezaan jurang sosio ekonomi Bumiputera dan bukan Bumiputera yang kini semakin melebar.

Selain itu, kata beliau, perbezaan pendapatan hakiki Bumiputera dan masyarakat Cina sebanyak RM2,600 setahun pada 1970 kini melebar kepada RM23,000 sebulan.

“Lebih 95 peratus rakyat miskin di Malaysia sekarang adalah Bumiputera. Mereka juga ketinggalan dalam sektor pendidikan menyebabkan lebih 75 peratus pekerja am adalah Bumiputera dan lebih 75 peratus pekerja bergaji rendah juga Bumiputera.

“Kita juga mendapati, lebih 75 peratus penganggur adalah Bumiputera dan majoriti tenaga kerja yang didiskriminasikan oleh majikan bukan Bumiputera juga adalah Bumiputera.

“Akibat pemansuhan subsidi beras, tepung, gula dan minyak masak oleh pemerintah sebelum ini, majoriti Bumiputera mengalami tekanan kos hidup yang kian melambung,” ujarnya.

Menurut Ruhanie, setelah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan, separuh daripada perbelanjaan isi rumah turut terjejas dan sebilangan besar isi rumah ini juga melibatkan Bumiputera.

Bumiputera, katanya, hanya memiliki 26.1 peratus daripada seluruh rumah kediaman dan menguasai 4.5 peratus daripada semua premis industri serta memiliki 5.4 peratus daripada segala premis komersial.

“Tanah Simpanan Melayu (TSM) pula kini tinggal 12 peratus dan majoritinya di Kelantan.  Tanah Adat Melaka (MCL) hanya tinggal 28 peratus. Tanah adat di Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak sukar dipastikan keluasannya.

“Faktor lain yang menyebabkan Binaputera Perkasa membuat desakan ini adalah penyertaan DAP sebagai pendukung dan pejuang konsep Malaysian Malaysia dalam kerajaan PH.

“Faktor ini membimbangkan apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan yang mengendalikan perbendaharaan, perbankan pusat dan komersial, percukaian, urusan bursa saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad,” katanya.

Sehubungan itu, kata Ruhanie, Binaputera Perkasa mendesak kerajaan PH bertegas dan berwaspada terhadap kemungkinan konsep Malaysian Malaysia diterapkan dalam dasar pelbagai agensi di Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast