Kertas cadangan mengenai kaedah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh dua minggu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.
Tun Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR – Menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja beliau dibebaskan dari penjara adalah langkah yang ‘bodoh’.

Tun Daim Zainuddin berkata, peralihan kepimpinan yang lebih pragmatik perlu dilakukan pada ‘jangka pertengahan”.

Beliau kini mengetuai Majlis Penasihat kepada Kerajaan Pakatan Harapan berhubung polisi-polisi.

“Peralihan akan berlaku dalam jangka sederhana. Jika anda tidak menunaikan janji kepada rakyat, mereka tidak akan mempercayai anda lagi.

“Bodoh jika melakukan perubahan dalam jawatan (perdana menteri) sekarang,” katanya yang dipetik bercakap kepada Straits Times.

Menurut akhbar harian Singapura itu, tempoh peralihan kepimpinan itu mungkin berlaku pada tahun 2020 memandangkan Dr Mahathir berkali-kali memaklumkan beliau memerlukan dua tahun untuk menangani masalah daripada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Daim memberitahu Straits Times beliau telah menemui Anwar baru-baru ini dan memaklumkan kepadanya bahawa “anda semua telah mencuba dalam banyak kali pilihan raya dan gagal. Sama ada anda suka atau tidak, Mahathir berjaya”.

Dr Mahathir kembali menerajui kerajaan sebagai perdana menteri ketujuh selepas 15 tahun bersara.

Bekas perdana menteri keempat negara itu melepaskan jawatannya pada tahun 2003 selepas 22 tahun menerajui kerajaan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya.

Ketua Umum PKR itu kini menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi Cheras selepas menjalani pembedahan bahu tahun lalu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad ke V bersedia untuk memberi pengampunan penuh kepada Anwar.

Asalnya, mesyuarat Lembaga Pengampunan itu dijadualkan bersidang pada hari ini tetapi ditangguhkan esok. – MalaysiaGazette