Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merancang untuk menerajui kerajaan selama satu atau dua tahun selepas kejayaan bersejarah beliau dalam pilihan raya umum minggu lepas, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Dalam wawancara dengan WSJ di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Selasa, Dr Mahathir juga berkata beliau menjangka pertuduhan jenayah akan difailkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak susulan siasatan yang dilakukan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyelewengkan beratus-ratus juta dolar Amerika Syarikat daripada sebuah dana pelaburan negara.

Dalam laporan WSJ yang disiarkan secara dalam talian pada Selasa, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata beliau tidak akan menawarkan pembebasan kepada Najib dalam usaha mendapatkan kembali wang yang hilang itu.

“Tak akan ada rundingan,” kata perdana menteri seperti yang dipetik daripada artikel itu yang ditulis berdasarkan siaran video secara langsung dari Malaysia ke The Wall Street Journal CEO Council di Tokyo, Jepun.

Dalam laporan itu, Dr Mahathir berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan pada Rabu selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut laporan WSJ, semasa berkempen, Dr Mahathir berjanji akan membebaskan Anwar dan menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya, tetapi sebelum itu, beliau akan terus menerajui Kabinet selama dua atau tiga tahun bagi mengemudi Malaysia ke arah yang betul.

Dalam laporan WSJ itu, Dr Mahathir berkata Anwar akan menjadi seorang daripada empat pemimpin parti dalam gabungan parti memerintah dan tidak akan diberi sebarang ‘kuasa istimewa.’

Perdana menteri berusia 92 tahun itu juga berkata Anwar akan diberi kerusi dalam Kabinet apabila beliau dipilih menjadi angota Parlimen.

Dr Mahathir dipetik daripada laporan itu sebagai berkata kerajaan pimpinan beliau akan mematuhi proses yang ditetapkan dan Najib akan dilayan secara adil.

“Semuanya bergantung pada siasatan yang sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat kes terhadap beliau atau tidak. Sekiranya tiada kes terhadap beliau, kami tidak akan mengambil tindakan menahan tanpa perbicaraan,” katanya seperti yang dipetik daripada laporan itu.
— BERNAMA