Barisan pemimpin Gerakan Pulau Pinang dalam sidang akhbar merayu Pengerusi mereka, Teng Chang Yeow menarik balik keputusan meletak jawatan di ibu pejabat Gerakan di Georgetown, pagi ini.
Barisan pemimpin Gerakan Pulau Pinang dalam sidang akhbar merayu Pengerusi mereka, Teng Chang Yeow menarik balik keputusan meletak jawatan di ibu pejabat Gerakan di Georgetown, pagi ini.

PULAU PINANG – Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dirayu menarik balik keputusan meletak jawatan dan berundur dari politik.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, ini kerana parti itu masih memerlukan pengalaman dan khidmat Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Menurut beliau, kekalahan teruk BN pada PRU-14 lalu bukan disebabkan kelemahan BN negeri yang dipimpin Chang Yeow sebaliknya berpunca daripada tsunami rakyat yang mahukan perubahan.

“Sebab itu kita beranggapan kekalahan dan tanggungjawab ini harus dipikul serta ditanggung bersama-sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam PRU-14, kesemua calon Gerakan yang bertanding di bawah tiket BN kalah iaitu mengulangi episod kekalahan teruk di negeri ini sejak 2008.

Malah, BN Pulau Pinang juga hanya mampu menang di empat kerusi iaitu masing-masing dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusinya calon UMNO.

Dalam pada itu, Tong Keong berkata, Chang Yeow mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang politik dan sistem perbadanan kerajaan sekali gus khidmatnya masih diperlukan.

Selain itu, katanya, Chang Yeow juga banyak memahami hal ehwal negara serta diakui pemimpin yang berkebolehan dan kompeten.

“Gerakan ditubuhkan di Pulau Pinang dan walaupun kita menghadapi tamparan yang kuat dalam pilihan raya umum kali ini, namun kita perlu mempertahankan dan melindungi `keluarga’ ini,” katanya.

Tambahnya, Gerakan di bawah Chang Yeow sebelum ini juga memainkan peranan aktif dalam memastikan wujudnya elemen `check and balance’ (semak dan imbang) iaitu khidmat yang masih ditagih rakyat dalam kerajaan negeri hari ini.- MalaysiaGazette