Thomas Tuchel

LONDON – Juara Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan pelantikan pengurus baru, Thomas Tuchel bagi menggantikan Unai Emery.

Bekas pengurus Borussia Dortmund berusia 44 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab yang berpengkalan di Paris.

Emery akan mengemudi perlawanan terakhirnya bersama PSG menentang Caen pada Sabtu.

Beban tugas baharu buat Tuchel pastinya untuk membawa PSG menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan selepas terkandas di peringkat suku akhir kepada Real Madrid musim ini.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pengurus bersama Augsburg II (2007-2008) dan Mainz 05 (2009-2014) sebelum mengemudi Dortmund pada 2015.

Tuchel dalam kenyataanya menyatakan kegembiraan dan penghargaan untuk menyertai kelab hebat seperti PSG.

“Saya akan terus bekerjasama dengan semua pemain hebat dan terbaik. Dengan kakitangan saya, kami akan melakukan apa sahaja untuk menjadi pasukan paling berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette