Datin Seri Rosmah Mansor
Datin Seri Rosmah Mansor

PETALING JAYA – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau mana-mana pemimpin Barisan Nasional tidak terlepas daripada disiasat oleh pihak berkuasa sekiranya mereka terlibat dengan kes jenayah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, siasatan itu akan dijalankan bukan sahaja pihak polis bahkan mana-mana agensi kerajaan berkaitan.

“Pihak polis mempunyai cukup alasan untuk mengadakan serbuan, saya pun tak dapat maklumat, ini polis punya kerja

“Kita bagi tugas untuk menyiasat semua kes jenayah tak kira siapa (termasuk Rosmah). Kalau ada kes, kita akan ambil tindakan.

“Penyiasatan ini melibatkan beberapa institusi kerajaan ataupun kementerian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Peguam Negara.

“Siasatan itu juga melibatkan badan-badan lain yang mempunyai maklumat (jenayah),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan polis yang menyerbu kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta dan di Pavilion Residence Apartment, di sini, lewat malam tadi.

Ditanya tentang serbuan ke atas kediaman Najib, Mahathir berkata, ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Saya tak tahu mereka melakukan serbuan pada waktu malam, tapi arahan saya sangat jelas

“Kita tidak datang untuk dera orang atau seumpamanya, saya mahu orang dilayan dengan sopan,” katanya. – MalaysiaGazette.