Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media mengenai majlis presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2018.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media mengenai majlis presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2018.

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, kajian akan dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan penerima yang layak sahaja mendapatnya.

“BR1M akan diteruskan, tapi kita perlu kaji, sebab ada orang (penerima) yang tak sepatutnya dapat, mereka dapat. Kita akan kaji takut ada unsur rasuah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pengekalan BR1M untuk golongan B40 adalah salah satu daripada janji manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.

Setakat 31 Mac lalu, Kementerian Kewangan telah meluluskan sebanyak 7,084,726 permohonan bagi menerima BR1M 2018.

Jumlah itu merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,705,853 penerima isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Sebanyak 324,973 penerima isi rumah yang berpendapatan bulanan di antara RM3,001 hingga RM4,000 pula menerima agihan RM900 dan bantuan RM450 kepada 3,053,900 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.

Bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM6.12 bilion.

Jika mengikut jadual asal, bayaran BR1M sepatutnya diagihkan pada bulan depan dan Ogos nanti. – MalaysiaGazette