Datuk Seri Mohd Shukri Abdull
Datuk Seri Mohd Shukri Abdull

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull di atas pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Menerusi kenyataan hari ini agensi penguatkuasa itu berkata, seluruh warga badan itu mengalu-alukan pelantikan beliau untuk menerajui SPRM dalam menyempurnakan amanah memastikan negara bebas daripada jenayah rasuah.

“SPRM berharap beliau dapat menyempurnakan amanah, tanggungjawab dan harapan rakyat bagi memastikan negara ini bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” kata kenyataan itu.

Mohd Shukri menggantikan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletak jawatan dalam suruhanjaya tersebut, pada Isnin lalu.

Pelantikan Mohd Shukri itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Menara Yayasan Selangor, semalam.

Untuk rekod, Shukri Abdull sudah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM dengan jawatan terakhir dipegang beliau adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Pada 3 Oktober 2016, beliau memilih untuk bersara wajib dan jawatannya digalas oleh Datuk Seri Azam Baki. – MalaysiaGazette