UNITED KINGDOM – Putera Harry dan Meghan Markle akhirnya bergelar suami isteri selepas selamat melangsungkan perkahwinan di Gereja St George, Istana Windsor di sini hari ini.

Upacara perkahwinan diraja itu disaksikan ribuan rakyat yang hadir ke istana tersebut termasuk beberapa bintang terkemuka dunia.

New York Times melaporkan, Putera Harry, 33, yang merupakan cucu kepada Ratu Elizabeth II kini bergelar Duke of Sussex, Earl of Dumbarton dan Baron Kilkeel.

Dalam pada itu, pasangan diraja itu melafazkan ikrar cinta antara satu sama lain dan turut disaksikan secara langsung oleh jutaan penonton di seluruh dunia.

Megan membawa 10 pengapit kanak-kanak lelaki dan perempuan termasuk anak kepada Putera William dan Kate Middleton iaitu Putera George dan Puteri Charlotte.

Pelakon itu juga diiring masuk ke gereja oleh bapa Putera Harry, Putera Charles dengan menyarung busana perkahwinan yang direka oleh pereka Britain, Clare Waight Keller.

Lebih 600 tetamu yang hadir ialah Oprah Winfrey, George dan Amal Clooney, David dan Victoria Beckham serta Sir Elton John. – MalaysiaGazette