Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat seolah-olah masih terasa hati serta merajuk dengan kritikan daripada pembangkang khasnya Pas berikutan kenyataan ‘menghina’ beliau beberapa hari lepas di Dewan Rakyat.

PUTRAJAYA- Kerajaan telah melakukan langkah penyelamatan (bailout) kepada syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) hampir RM7 bilion sebelum ini.

Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri Kewangan baharu, Lim Guan Eng setelah mendengar taklimat daripada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa hari ini.

Menurut Guan Eng, pendedahan tersebut bertentangan dengan dakwaan 1MDB yang mendakwa syarikat tersebut membayar hutangnya hasil daripada penstrukturan semula.

“Saya kepilkan sekali senarai 13 kali pembayaran yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi pihak 1MDB yang berjumlah RM6.975 bilion sejak 19 April tahun lepas sehingga 11 Mei 2018,” katanya semasa sidang media pertamanya di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Jelas Guan Eng, jumlah tersebut termasuk bayaran yang dibuat kepada IPIC sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk memberi taklimat dan penjelasan mengenai kemampuan syarikat tersebut untuk membayar faedah hutang berjumlah RM143.7 juta yang perlu dibayar pada 30 Mei ini.

Beliau turut memanggil dua ahli lembaga pengarah 1MDB, Datuk Kamal Mohd. Ali dan Datuk Norazman Ayob untuk memberi taklimat kepada kementerian mengenai kedudukan dan hal ehwal syarikat berkenaan.

“Saya turut dimaklumkan bahawa selain jumlah faedah sebanyak RM143.7 juta yang akan berakhir hujung bulan ini, terdapat RM810.21 juta faedah lagi yang perlu dibayar pada September dan November 2018,” katanya lagi.

Ketika ditanya apa yang akan dilakukan oleh Kementerian sekiranya 1MDB gagal membayar hutangnya, Guan Eng berkata, mengikut perjanjian, hutang tersebut perlu dijelaskan oleh kerajaan.-MalaysiaGazette