Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama ahli Majlis Tertinggi Umno bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2018.
Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama ahli Majlis Tertinggi Umno bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Tidak ada pengecualian untuk mana-mana jawatan dalam UMNO yang akan dipertandingkan termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pemangku Presiden UMNO itu berkata, keputusan untuk membuka semua jawatan dalam parti dipertandingkan dipersetujui selepas Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Semua jawatan yang ada adalah terbuka dan bebas dipertandingkan termasuj jawatan presiden dan timbalan presiden serta ketua pergerakan sayap adalah bebas ditandingi mengikut kelayakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

“Jadi, tidak timbul soal tidak ada pertandingan dalam UMNO,” kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, keputusan tersebut dibuat secara berlapang dada demi memastikan UMNO dapat dipulihkan terutamanya mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti tersebut.

“Saya dan Hisham (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) berlapang dada dan terbuka mahu jawatan ini ditandingi,” kata beliau.

Pemilihan UMNO akan bermula 10 Mei ini hingga 19 Jun diperingkat Cawangan, diikuti 23 Jun pemilihan peringkat sayap Pemuda, Puteri dan Wanita dan 30 Jun pula pemilihan peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi. – MalaysiaGazette