Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull bercakap pada sidang media khas di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull . foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2018.

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru dilantik, Datuk Seri Shukri Abdull mendedahkan beliau menerima ugutan bunuh semasa membuat siasatan terhadap SRC International sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikutan itu, beliau bertindak mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat apabila mendapat tekanan daripada pihak pemerintahan ketika itu.

“Kita hadapi tekanan cukup hebat, saksi kami dilarikan, malah saya sendiri diugut untuk dipecat, saya diminta untuk bercuti awal bersara awal, saya dipindahkan ke bahagian latihan.

“Sebab pengalaman saya dari Kes SRC dan 1MDB amat menakutkan, saya hampir mati dalam kes ini saya takut nak balik ke sini. Semasa saya ke Washington ada pegawai ikut saya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini.

Shukri berkata, beliau dan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Abu Kassim dituduh untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya rasa sedih, saya dan Tan Sri Abu Kassim dituduh sebagai pembelot untuk menjatuhkan kerajaan, kami buat kerja bersunguh-sungguh untuk selamatkan negara dan membawa balik wang (1MDB) dari luar negara,” katanya yang ditemani Datuk Seri Azam Baki.

Shukri ketika itu adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM. – MalaysiaGazette