Shahidan Kassim.
Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR – Selepas buntu mencari penyelesaian dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim merayu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membantu memastikan menteri besar pilihan Barisan Nasional (BN) negeri itu dilantik.

Shahidan yang merupakan Pengerusi Perhubungan BN negeri mendakwa, tindakan Istana Perlis memilih Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar  tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan kerana tidak mempunyai sokongan majoriti daripada wakil rakyat BN negeri itu.

Sedangkan, kata beliau, BN negeri telah pun bersetuju untuk melantik adiknya iaitu ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar.

“Kami memohon supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semak semula kuasa melantik Menteri Besar, kami juga merayu kepada Sultan Nazrin Shah untuk memberi pandangan dalam isu ini,” kata beliau semasa sidang media PWTC hari ini.

Jelasnya, tindakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mencampuri urusan pentadbiran adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

“Tuanku tak perlu campur tangan urusan pentadbiran,” katanya lagi.

Menurut Shahidan, pelantikan Azlan itu tidak sah kerana sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak menyokongnya sebagai MB Perlis walaupun diperkenan Raja Perlis.

Azlan hari ini sah menjadi MB Perlis selepas mengangkat sumpah di Balai Menghadap, Istana Arau awal pagi tadi.

Bagaimanapun, sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah itu dan berada di Kuala Lumpur mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kemelut tersebut.

Sebaliknya, hanya tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS hadir semasa majlis angkat sumpah itu. – MalaysiaGazette