Mohd. Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Kedudukan ekonomi negara terjejas ekoran langkah gopoh kerajaan Pakatan Harapan (PH), bidas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Zuhdi mendakwa beberapa tindakan diambil pentadbiran PH adalah berisiko dan berpotensi menjejaskan ekonomi negara daripada pembentukan Kabinet baharu sehingga isu pemberhentian penjawat awam.

“Pembentukan barisan Kabinet oleh PH jelas sekali kelam-kabut apabila sehingga hari ini mereka masih belum menamakan dengan lengkap senarai kementerian yang perlu ada.

“Selain itu, kerajaan juga dilihat tergopoh-gapah untuk mengambil tindakan populis menghukum pimpinan serta pegawai kerajaan lama untuk meraih persepsi politik,” kata beliau dalam akaun Facebooknya.

Beliau turut membangkitkan pengumuman kerajaan PH untuk mengkaji beberapa projek pembangunan kerajaan terdahulu yang didakwanya akan memberikan kesan Malaysia hilang keyakinan dari pelabur asing.

“Memberhentikan projek-projek pembangunan termasuk yang melibatkan pelaburan asing, boleh mengakibatkan hilang keyakinan antarabangsa dan domestik terhadap hala tuju ekonomi negara,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng mengesahkan jumlah keseluruhan hutang kerajaan berjumlah RM1.087 trilion setakat 31 Disember 2017.

Pengumuman tersebut memberikan reaksi negatif kepada pasaran negara yang menyaksikan kejatuhan di bursa. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.