Mohamed Salah telah menampilkan aksi yang luar biasa untuk menyaingi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk meraih penghargaan tertinggi bola sepak itu.

LONDON – Bekas pemain Liverpool berpendapat Mohamed Salah layak untuk menerima Anugerah Ballon d’Or jika kelab itu  menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pagi esok.

John Arne Riise yang  membarisi pasukan Liverpool 11 tahun lalu percaya Salah telah menampilkan aksi yang luar biasa untuk menyaingi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk meraih penghargaan tertinggi bola sepak itu.

“Salah sangat merendah diri, tenang dan sentiasa tersenyum. Dia memberikan segalanya buat pasukan. Musim ini, dia telah mencapai segala sasaran.

“Bagi saya, dia layak memenangi Ballon d’Or pada tahun ini dan jika dia memenangi Liga Juara-Juara Eropah, ia terjamin 100 peratus. Bagi saya, dia pemain terbaik pada tahun ini,” kata Riise.

Salah menikmati musim yang cemerlang di Anfield apabila mengutip 44 gol dalam semua kejohanan dan membantu Liverpool kembali ke final di pentas Eropah buat kali pertama sejak 2007.

Pemain antarabangsa Mesir iu menyinar menerusi gandingan bersama Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Pagi esok, Liverpool akan menentang Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Kiev, Ukraine. – MalaysiaGazette