Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 28 MEI 2018.

PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Kerajaan Singapura jika mahu membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau perlu menyemak semula perjanjian projek pengangkutan itu antara Malaysia dan Singapura terlebih dahulu.

“Kita kena bayar pampasan lebih RM500 juta. Saya belum tengok lagi perjanjian HSR tapi saya dimaklumkan bahawa kita mungkin kena bayar pampasan sebanyak RM500 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), di Yayasan Selangor hari ini.

Sebelum ini, Mahathir berkata, kerajaan akan mencari jalan untuk mengurangkan jumlah pampasan yang terpaksa dibayar kepada Singapura jika mahu membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam terma dan perjanjian HSR dengan Singapura.

Menurut beliau lagi, HSR dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah antara dua projek mega yang menyumbang kepada hutang negara mencecah RM1 trilion. – MalaysiaGazette