Tanpa menyatakan alasan, kerajaan Pas Kelantan melarang kedua-dua pemimpin PAN ini memasuki mana-mana pejabat kerajaan negeri dan semua istana di Kelantan.
Tanpa menyatakan alasan, kerajaan Pas Kelantan melarang kedua-dua pemimpin PAN ini memasuki mana-mana pejabat kerajaan negeri dan semua istana di Kelantan.

KUALA LUMPUR – Selepas darjah kebesaran ditarik balik, Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dilarang masuk ke Kompleks Pejabat Kerajaan di Kota Darul Naim, pejabat kerajaan negeri dan semua istana di negeri itu.

Larangan itu yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan bertarikh 27 Mei lalu, bagaimanapun tidak menyatakan sebab Husam dan Wan Abdul Rahim dikenakan arahan itu.

Menurut surat yang ditandatangani SUK baharu, Datuk Nazran Muhammad, mana-mana pegawai kerajaan berkenaan yang ingkar arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) Tahun 1996 atau mana-mana peraturan yang berkuatkuasa pada masa kini.

Selain dilarang masuk ke pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Darul Naim, Husam dan Wan Abdul Rahim juga dilarang masuk tanpa kebenaran ke istana-istana di Kelantan seperti Istana Balai Besar, Istana Negeri Kubang Kerian, Istana Telipot, Istana Kota Lama, Istana Tumpat dan Istana Persinggahan Gua Musang.

“Individu ini adalah tambahan kepada senarai nama individu yang terlibat dengan larangan seumpama ini sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini oleh pentadbiran (SUK) ini,” menurut kandungan surat itu.

Pada 7 Februari lalu, darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Muhammad V kepada Husam dan Wan Abdul Rahim ditarik balik.

Penarikan darjah itu menyebabkan kedua-dua mereka hilang gelaran Datuk.

Sementara itu, Husam dan Wan Abdul Rahim ketika dihubungi, enggan mengulas mengenai larangan yang dikenakan kerajaan Pas Kelantan ke atas mereka. – MalaysiaGazette