Seorang pekerja penyelenggara, Shahrul Pitri Jusoh,35, dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi menghadapi tuduhan membunuh tiga adik beradik dalam kejadian amuk di Bagan Datuk pada 17 Mei lalu, hari ini. --fotoBERNAMA (2018)
Seorang pekerja penyelenggara, Shahrul Pitri Jusoh,35, dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi menghadapi tuduhan membunuh tiga adik beradik dalam kejadian amuk di Bagan Datuk pada 17 Mei lalu, hari ini. --fotoBERNAMA (2018)
TELUK INTAN – Seorang pekerja penyelenggara dihadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini atas tujuh pertuduhan termasuk menetak mati tiga beradik di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Bagan Datuk pada 17 Mei.

Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 35, bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan bagi tiga pertuduhan kes bunuh tiga kanak-kanak itu yang dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamila Zakaria.

Mengikut tiga kertas pertuduhan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, Shahrul Pitri didakwa membunuh ketiga-tiga beradik tersebut iaitu Mohammad Faqih Zahirulhaq Mohd Fadzil, 5; Nur Zia Fasihah, 2; dan Muhammad Firash Zafrill, 3.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan tersebut pada kira-kira 2.30 petang hingga 2.40 petang, 17 Mei lalu, di rumah Projek Bantuan Bina Rumah, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Mohammad, di Selekoh Bagan Datuk.

Sementara itu di hadapan Majistret Norita Mohd Ardani, bagi tiga lagi pertuduhan, Shahrul Pitri didakwa cuba melakukan bunuh menggunakan parang yang boleh menyebabkan kematian kepada ibu tiga beradik tersebut, Zuraidah Mat Ali, 35; ustaz Redhuan Embi, 32; dan Murid Tahun 4, Nur Aina Umaira Subri, 10.

Bagi kesalahan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman yang mengendalikan kesemua pendakwaan mengemukakan tuduhan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Shahrul Pitri juga turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kakak sulung mangsa bunuh, Nur Zuryn Fazira, 9, dengan menggunakan parang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Shahrul Pitri yang mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu, didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira 2.15 petang hingga 2.45 petang di dalam rumah mangsa serta di titi pondok dan di jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Bagan Datuk.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Julai untuk sebutan semula semua kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

— BERNAMA