KUALA LUMPUR – Kumpulan bekas penjawat awam, G25 mencadangkan supaya Institut Kajian Islam Malaysia (IKSIM) dimansuhkan.

Menurut salah seorang pengasas G25, Datuk Noor Faridah Ariffin, institut tersebut tidak mempunyai fungsi yang jelas melainkan hanya menyebarkan fitnah dan fahaman ekstremis kepada orang Islam.

“Kami tidak pasti apa yang mereka (IKSIM) buat tetapi mereka hanya ke hulu-hilir membuat fitnah kepada orang Islam yang lain dengan melabelkan sesetengah orang sebagai liberal dan sebagainya.

“Kami juga sangat bimbang dengan program mereka seperti Transformasi Pemikiran Islam (TRAPI) yang hanya melakukan “brainwash” kepada pelajar dan kakitangan kerajaan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Reformasi Institusi di sini hari ini.

IKSIM yang ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang mana dipengerusikan oleh bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pertelagahan di antara IKSIM dengan G25 dan sebahagian pemimpin politik daripada Pakatan Harapan bukanlah perkara baharu.

Mereka saling berbalas kenyataan sebelum ini berhubung pelbagai isu antaranya liberalisme dan LGBT.

Menurut Noor Faridah, G25 juga meminta Majlis Raja-Raja untuk menyemak semula peranan Jakim sejajar saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Tambah beliau, selain menyemak semula Jakim dan memansuhkan IKSIM, kumpulan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang itu turut mencadangkan supaya Biro Tata Negara (BTN) dimansuhkan.

“BTN hanya mempromosikan sifat perkauman dan ini tidak boleh diterima di dalam sebuah Malaysia baharu,” tegasnya. -MalaysiaGazette