Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melahirkan rasa syukur tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia atas keprihatin mereka menderma kepada Tabung Harapan yang kini sudah mencecah lebih RM7 juta setakat jam 4 petang.

Jelas beliau, keprihatin oleh rakyat Malaysia terhadap penubuhan tabung ini sebenarnya luar biasa kerana jumlah yang begitu banyak dapat dikutip daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam tempoh begitu singkat.

Bagaimanapun, Guan Eng yakin dana tabung ini tidak akan membayar hutang negara yang ketika ini dipercayai sudah mencecah RM1 trillion.

“Kita amat berterima kasih dengan keprihatinan yang di tonjolkan oleh rakyat negara ini. Walaupun kita tidak mampu mengumpulkan dana sebanyak RM1 trilion tetapi setiap sen yang didermakan ini hanya akan digunakan untuk membayar hutang yang kini membebankan negara.

“Kita tidak akan gunakan wang ini untuk perkara lain selain daripada membayar hutang kerajaan pusat, bila tarikh untuk berhenti pengutipan dana Tabung Harapan belum kita dapat tentukan lagi. Apabila ada keperluan kita akan umumkan.

“Pada masa yang sama, kita di Kementerian Kewangan akan mengendalikan akaun Tabung Harapan mengikut prinsip CAT dan kita komited dengan setiap sen yang didermakan kepada negara ini.

“Jumlah yang dikutip akan dikemaskini setiap hari di laman web menteri kewangan dan di platform media sosialnya bagi memastikan kita telus dan rakyat nampak, itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Kementerian Kewangan di Putrajaya sebentar tadi.

Tambah Guan Eng, rakyat Malaysia yang menderma kepada Tabung Harapan akan diberikan pemotongan cukai seperti yang dijanjikan.

“Lagi banyak yang anda derma, kita akan berikan pemotongan yang besar. Bagi tujuan ini, sila pastikan anda simpan resit transaksi, seperti yang dinyatakan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Syarikat-syarikat juga dibenarkan untuk menderma kepada Tabung Harapan agar mendapat pemotongan cukai, ini juga tanda semangat patriotik tinggi oleh anda sekelian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng juga turut membuat perbadingan penubuhan Tabung Harapan dengan apa yang terjadi di Korea Selatan sekitar 1990.

“Rata-rata penduduk Korea Selatan sanggup menderma sehingga ada yang menggadaikan emas bagi membayar kembali hutang negara.

“Walaupun kita tidak seperti itu, semangat yang telah ditunjukkan itu. Semangat sehati sejiwa demi negara.

“Bayangkan seandaiya bayi lahir ketika ini, bayi tersebut sudah mempunyai hutang sebanyak RM33,000. Itu adalah pandangan kita dengan bebanan hutang sebanyak RM1 trilion ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette