GST
Orang awam masih membeli barang keperluan walaupun kerajaan telah mengumumkan kadar 0% GST bermula 1 Jun ini di Plaza OUG, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Esok menjadi penentu harga barang apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan dengan peniaga dan pembekal digesa tidak mengambil kesempatan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai tetap membeli belah pada hari terakhir pelaksanaan GST hari ini, walaupun segelintirnya terhad kepada barangan yang tidak dikenakan cukai 6 peratus.

Kakitangan kerajaan, K Ashok, 58, berharap peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap pemansuhan GST dengan menaikkan harga barang terutama yang mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri, kali ini.

“Memang semua rakyat Malaysia tertunggu-tunggu hari esok, pemansuhan GST.

Ashok Kumaran. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018

“Selepas ini, semuanya atas peniaga dan pembekal. Ketika GST, beza harga cuma antara RM2 dan RM3. Harga barangan terutama keperluan perayaan tidak dinaikkan harga oleh peniaga,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Putra Darwis, 28, kehabisan bekalan lampin pakai buang dan susu tepung bayi abaknya – dua barangan yang menjadi keluhan pengguna apabila dikenakan GST – menyebabkan beliau tidak dapat tunggu sehingga pemansuhan GST esok.

Putra Darwis. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018

“Memang saya tidak dapat mengelak daripada membeli hari ini. Caj GST sebelum ini memang sangat terasa terutama saya yang mempunyai dua orang anak kecil,” katanya.

Ketika berharap kuasa membeli semakin meningkat selepas pemansuhan GST, Putra mengakui beliau menunggu sehingga esok untuk membeli barangan lain terutama persiapan Aidilfitri.

Pendapat sama disuarakan suri rumah, Noraini Hassan, 47, yang hanya akan membeli barangan persiapan Aidilfitri lain selepas pemansuhan GST esok.

“Ada persiapan sudah dibuat awal tetapi untuk barang yang mahal seperti baju anak lelaki dan kuih raya, memang saya tunggu sehingga GST dimansuhkan, esok,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Noraini yang menyokong pemansuhan cukai 6 peratus berkata, kesan kenaikan harga barang sangat dirasai apabila belanja barangan kering keluarganya meningkat sehingga 50 peratus sejak pelaksanaan GST, sebelum ini.

Peniaga muda, Ali Zamri Alinur, 20, menyifatkan esok bagaikan kehidupan di negara baru apabila GST dimansuhkan.

Ali Zamri Alinur. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018

“Saya harap harga barang dari pembekal akan lebih murah. Selepas ini, mereka tiada alasan lagi untuk menaikkan harga barang,” katanya. – MalaysiaGazette