Apabila sudah ada nama dan terkenal maka ramai yang berminat untuk menjadi sebahagian dari UiTM. Berbagai alasan direkacipta kononnya untuk lebih kompetitif - Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin
Apabila sudah ada nama dan terkenal maka ramai yang berminat untuk menjadi sebahagian dari UiTM. Berbagai alasan direkacipta kononnya untuk lebih kompetitif - Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin

UMUM sudah mengetahui bahawa dalam bidang pendidikan tinggi negara, Universiti Teknologi MARA meletakkan syarat kemasukkan hanya dibuka kepada golongan bumiputera (Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak).

Syarat kemasukan ini menjadi dasar pengambilan pelajar dan diterima oleh pihak berwajib khususnya kementerian berkenaan. Hal ini bukan rahsia kerana sudah sekian lama masyarakat umum mengenali dan mengetahui bahawa UiTM hanya untuk bumiputera.

Ini adalah di antara beberapa tindakan afirmatif yang mendapat perlindungan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, sepatutnya tidak perlu mana-mana pihak bersusah payah untuk siasat mencari justifikasi dan mempersoal legitimasi dasar pengambilan pelajar UiTM.

Agak sedih dan malang apabila masih ada pihak tertentu yang menghabiskan masa membuat rujukan dan carian untuk mempertikai kesahan dan legitimasi dasar pengambilan yang dikatakan tidak menggambarkan sifat majmuk dan demokratik negara amnya.

Malah ada individu yang mengguna pengetahuan undang-undangnya sebagai asas dan metode justifikasi untuk membuktikan dasar tersebut adalah salah. Maka diselidiki kelompong undang-undang sebagai sandaran dalil untuk mengukuhkan pandangan peribadi bahawa dasar tersebut adalah pincang seolah-olah suatu dosa dalam lanskap sosial masyarakat majmuk.

Atas alasan ini maka kononnya terbukti dasar pengambilan hanya bumiputera harus ditolak. Rumusannya, UiTM wajar dibuka kepada bukan bumiputera.

Kewujudan Universiti Teknologi MARA adalah unik. UiTM tidak boleh diukur dan dilihat hanya pada ketika ini di mana semuanya tersergam indah. Kejayaan yang dinikmati sekarang adalah hasil angan-angan pemikir bangsa dahulu dan perjuangan mereka yang mahu mengangkat martab bangsa.

Kesinambungan perjuangan ini tidak boleh dilihat hanya pada satu era masa sahaja. Ia adalah hasil keringat yang berterusan walaupun suatu ketika dihina dan dipandang remeh. Kita memandang sejarah bukanlah untuk melangkah kebelakang tetapi untuk menilai di mana kita berada sekarang dan mencorak masa hadapan.

UiTM terbentuk bukan seperti kebanyakan universiti lain yang wujud dari asal baharu. Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173] adalah statut pembentukan UiTM kesinambungan dari entiti terdahulu iaitu Institut Teknologi MARA. Pengiktirafan dan kenaikan taraf ITM kepada universiti penuh iaitu UiTM pada tahun 1999 tidak bermakna dasar dan matlamat asal mengenai kedudukan bumiputera terputus.

Agak malang jika ada individu berhujah melihat peruntukan undang-undang mengenai perkara ini secara tekstual tanpa mengambil kira keseluruhan aspek secara pandangan prismatik. Dalam hal ini sewajarnya peruntukan seksyen 37 Akta 173 dijadikan rujukan. Seksyen ini jelas memperuntukkan mengenai kesinambungan dari Maktab RIDA, ITM dan UiTM. Secara holistiknya pengiktirafan dasar bumiputera tidak pernah berubah.

Akta 173 juga memperuntukkan Yang DiPertuan Agong sebagai Canselor melalui seksyen 19A(2). Peruntukan ini tidak bersifat sendirian kerana ia perlu dilihat bersama seksyen 1A yang menyatakan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.  Artikel 153 yang menjadi teras dasar bumiputera UiTM jelas menyatakan tanggungjawab perlembagaan YDPA untuk memelihara kedudukan istimewa kaum Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum yang lain.

Jika diteliti pembentukan UiTM iaitu kesinambungan dari kewujudan ITM maka sewajarnya peruntukan Artikel 153 diberi tafsiran secara kontekstual. Dengan menjadikan ini sebagai latarbelakang, peruntukan 153 perlu dibaca bersama dengan 153(8A) yang memberi kuasa kepada YDPA untuk memberi arahan mengenai perezaban kadar kepada bumiputera. Perezaban ini sewajarnya diambil kira perkadaran yang bergantung kepada keperluan pendidikan tinggi negara secara menyeluruh dan tidak hanya bertumpu pada sesebuah institusi sahaja.

Sememangnya tidak ada formula perezaban disebut dalam peruntukan tersebut. Kekaburan ini telah diguna dan diambil kesempatan oleh pihak yang mempersoalkan perezaban tempat bumiputera di universiti awam  sebagai alasan membolehkan penerimaan bukan bumiputera. Golongan ini menjadikan prinsip tafsiran perlembagaan tertentu sebagai alat diguna untuk justifikasi menyokong niat dan hasrat mereka yang dari azali penuh dengan kesangsian dan tiada toleransi.

Persoalan tentang perihal UiTM dan dasarnya bukanlah perkara baru. Namun mutakhir ini semakin rancak golongan tertentu menimbulkan polemik seolah-olah menangguk di air yang keroh. Kemungkinan peluang perubahan lanskap politik negara dengan kerajaan baharu yang tampak terbuka dan reseptif kepada prinsip keadilan sosial menjadi pencetus semangat golongan ini menjentik perihal UiTM tidak dapat dinafikan.

Golongan ini menuntut supaya bukan bumiputera diberikan tempat dalam sistem UiTM dengan alasan mereka juga adalah rakyat Malaysia. Begitu juga dengan beberapa individu perihatin yang menyokong supaya UiTM seperti universiti awam yang lain menerima bukan bumiputera dengan alasan agar pelajar bumiputera akan lebih kompetitif dengan kehadiran pelajar bukan bumiputera. Daya saing kompetitif bukan terletak pada kaum tetapi individu.

Anehnya polemik ini berlaku ketika UiTM berada di persada kegemilangan dan menjadi antara universiti tersohor dalam negara serta mengukir nama di peringkat antarabangsa. Kenapa sekarang galak mencanang supaya UiTM membuka pintunya kepada bangsa lain ketika UiTM sudah mengecapi kejayaan setaraf jika tidak lebih tinggi dari beberapa universiti awam lain yang lebih terkenal?

Apabila sudah ada nama dan terkenal maka ramai yang berminat untuk menjadi sebahagian dari UiTM. Berbagai alasan direkacipta kononnya untuk lebih kompetitif. Di manakah suara ini ketika UiTM masih menjadi Maktab RIDA yang memberi peluang kepada pelajar bumiputera memperolehi kemahiran asas tertentu. Malah kewujudannya suatu ketika dahulu sebagai Institut Teknologi MARA diperlekehkan sebagai tempat lambakan pelajar bumiputera kelas kedua atau ketiga.

Memanglah mudah untuk mencari nas-nas perundangan dan kemudian ditafsir mengikut niat dan hasrat mereka yang secara azalinya tidak bersetuju dengan kedudukan istimewa kaum bumiputera dalam perlembagaan. Mereka sepatutnya lebih terbuka memahami dan menghayati perjalanan sejarah negara supaya sikap toleransi menjadi norma kehidupan dan bukannya kesangsian yang penuh dengan iri hati.

Apa yang lebih malang terdapat segelintir kaum bumiputera khususnya mereka yang membesar dalam suasana kesenangan, takjub dengan slogan kesamarataan, keadilan sosial dan seumpamanya, yang turut mempersoalkan keistimewaan bumiputera. Mereka melihat dan menilai UiTM yang telah berjaya.

Golongan ini lupa atau sengaja alpa mengenai keperitan generasi terdahulu ketika ITM ditempatkan di rumah-rumah kedai, bangunan usang serba kekurangan demi menyediakan sedikit ruang dengan prasarana yang daif untuk membangun kaum bumiputera dalam pendidikan tinggi. Golongan ini ibarat kadok naik junjung. Mereka tidak mahu menerima UiTM sebagai faktor pengimbangan khususnya dalam bidang profesional yang mana kaum bumiputera masih ketinggalan.

Penulis tidak sama sekali menolak perubahan seandainya perubahan itu mendatangkan kebaikan dan keadilan. Sekiranya suatu masa jurang yang ketara berjaya dirapatkan dan kesangsian di antara kaum dapat ditangani maka tidak mustahil tindakan afirmatif seperti yang wujud sekarang dinilai semula.

— Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin, Pensyarah Undang-Undang UiTM

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast