KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengagihkan zakat berjumlah RM33 juta bagi tahun 2024 melalui dua kaedah utama iaitu Zakat Perniagaan dan Zakat Wakalah.
Zakat Perniagaan adalah zakat yang diberikan oleh TNB kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf dengan komposisi 70% untuk golongan fakir miskin dan 30% untuk golongan fisabilillah.
Sementara itu, Zakat Wakalah adalah zakat yang diterima semula oleh TNB daripada Majlis Agama Islam Negeri dan diagihkan terus kepada penerima manfaat yang telah dikenalpasti melalui pelbagai inisiatif.
Ia termasuk Program Baiti Jannati: Membantu keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat; Ceria Ke Sekolah: Menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, dan alat tulis kepada pelajar daripada keluarga asnaf dan bantuan keperluan asas dan pembangunan komuniti kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa (kiri); Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid (kanan) dan Presiden/Ketua Pegawai Esksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (dua dari kanan) melawat rumah seorang penerima bantun Program Baiti Jannati (PBJ) TNB pada 2024.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, sumbangan zakat adalah kewajipan syariah dan tanggungjawab yang ditunaikan dengan penuh keprihatinan.
“Ia mencerminkan komitmen kami untuk berkongsi kejayaan dengan masyarakat dan memastikan bantuan ini memberi manfaat menyeluruh kepada golongan asnaf,” katanya.
Selain menunaikan kewajipan zakat, TNB juga memberikan sumbangan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang merentasi teras pendidikan, sukan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar, dengan perbelanjaan RM140.9 juta pada 2024.
Bagi teras pendidikan, Yayasan Tenaga Nasional menaja 1,582 pelajar dengan pelaburan RM42.6 juta manakala Program Baiti Jannati pula membina dan membaik pulih 817 rumah sejak 2018, memberi manfaat kepada lebih 4,000 individu.

Bagi teras pendidikan, Yayasan Tenaga Nasional menaja 1,582 pelajar dengan pelaburan RM42.6 juta.
TNB turut menyumbang dalam program lain seperti Projek Mesra Rakyat dan Better Brighter Shelter, dalam usaha menyokong inisiatif pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Dalam sukan, hampir RM6 juta disalurkan untuk menaja Konfederasi Hoki Malaysia, selain peruntukan yang disediakan untuk membangunkan TNB Thunderbolts serta melaksanakan Klinik Hoki bagi mencungkil bakat baharu.
Sementara itu, dalam aspek kelestarian, TNB telah memasang sistem panel solar 25 kWp di sebuah sekolah agama negeri pada Februari lalu untuk mengurangkan kos tenaga dan menyokong masa depan yang lebih bersih, selaras dengan aspirasi negara dalam tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan dalam pendidikan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan menegaskan, TNB amat komited dalam memastikan setiap program pembangunan komuniti syarikat memberi impak nyata kepada masyarakat.
“TNB percaya peranan kami melangkaui penyediaan bekalan elektrik. Sumbangan zakat merupakan satu kewajipan yang dilaksanakan oleh syarikat untuk membantu kumpulan komuniti yang memerlukan.
“TNB juga menunaikan tanggungjawab sosialnya melalui pelbagai inisiatif CSR, termasuk memperkasa komuniti, membangunkan bakat dan menyokong pertumbuhan yang mampan sebagai sebahagian daripada komitmen kami dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















