Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menarik balik rayuan berhubung prosiding komital terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa mengeluarkan kenyataan berkaitan kes rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Barisan panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Rahman Sebli telah membatalkan saman tersebut selepas Peguam Kanan Persekutuan, Maisarah Juhari yang mewakili Mohamed Apandi memaklumkan bahawa pihaknya sudah menarik balik rayuan itu pagi ini di Istana Kehakiman di sini.

Namun tiada sebarang perintah berhubung kos diputuskan hakim pagi tadi.

Dua lagi hakim menganggotai panel itu ialah Hakim Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam.

Dalam pada itu, Maisarah ketika ditemui pemberita di luar bilik prosiding Mahkamah Rayuan berkata, pihaknya sudah mengemukakan notis penamatan rayuan semalam dan menyerahkan kepada peguam Guan Eng pada hari yang sama.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan diwakili peguambelanya Mervyn Lai.

Mengikut rekod kes, pada 6 Disember 2017, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Guan Eng yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Mohamed Apandi bagi memulakan prosiding komital berhubung kenyataan berkaitan kes rasuah yang dihadapinya.

Hakim Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas memutuskan Mohamed Apandi gagal mengemukakan transkrip penuh sidang media Guan Eng, ketika memohon kebenaran untuk prosiding komital itu.

Pada 18 Ogos 2016, Mohamed Apandi memfailkan saman pemula memohon kebenaran untuk perintah komital ke atas Guan Eng supaya dimasukkan ke penjara kerana didakwa menghina mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan di media cetak atau media sosial.

Perbuatan Guan Eng itu didakwa akan menggugat pentadbiran keadilan, mengikis keyakinan awam terhadap sistem kehakiman serta menghina maruah dan integriti sistem mahkamah.

Guan Eng didakwa membuat kenyatan itu ketika sidang media selepas pelancaran `Simposium Dr Wu Lian Teh’ oleh Penang Institute di Jalan Brown, Georgetown. – MalaysiaGazette